Sultan Johor minta pihak amal perkauman keluar dari Johor
September 16, 2015
Tegas Baginda, Johor merupakan rumah bagi bangsa Johor yang terdiri dari Melayu, Cina dan India
PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar meminta pihak yang mengamalkan sikap perkauman keluar dari negeri itu. Titah Baginda, Johor merupakan rumah bagi bangsa Johor yang terdiri dari Melayu, Cina dan India. “Di Johor Darul Ta’zim, tiada tempat dan ruang untuk mereka yang membenci dan mengamalkan sikap perkauman. Mereka yang membenci dan mengamalkan perkauman tidak pernah saya terima di Johor Darul Ta’zim dan tidak mungkin saya menerima mereka. “Mereka yang mengamal sikap ini, di nasihatkan supaya keluar dari Johor Darul Ta’zim serta-merta, kerana Johor adalah rumah kepada Bangsa Johor yang terdiri dari Orang Melayu, kaum Cina dan kaum India,” petik kenyataan Baginda di laman Facebook, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Dalam titahnya itu, Sultan Johor turut mahu pihak berkuasa mencari jalan penyelesaian sehingga ke peringkat akar umbi agar sikap saling membenci dan ketegangan kaum antara rakyat khususnya di negeri ini tidak berterusan. Titah Baginda lagi, pihak yang menghasut rakyatnya bakal dikenakan tindakan tegas dan perlu berdepan dengan baginda yang merupakan Sultan Johor yang memegang amanah kepada rakyat Johor dan negeri ini. “Saya telah bertungkus-lumus untuk kepentingan bangsa Johor dan negeri Johor, untuk memastikan semua hidup dalam harmoni dan negeri ini semakin maju. “Nenek moyang saya, kerajaan negeri, bangsa Johor dan saya telah bekerja keras untuk menyatukan rakyat Johor dan membawa masuk pelabur asing bagi memajukan negeri ini. Mereka yang menghasut bangsa Johor perlu berdepan dengan saya,” tegas Baginda.
|