|
Pertama kali jadi ibu, pasti agak teruja untuk membuat persiapan sambut orang baru. Tetapi apa yang selalu menjadi keutamaan anda? Warna, gaya atau harga? Jika anda berhadapan masalah dalam memilih pakaian yang tepat, ini rahsianya.
Tip ini membantu anda untuk beli pakaian baru yang tepat untuk buah hati anda...
1. Abaikan baju tak serap peluh
Elak membeli pakaian dari bahan sintetik seperti nilon dan poliester kerana bahan-bahan tersebut tidak serap peluh. Ini boleh jadi punca bayi dapat ruam dan gatal-gatal. Pilih bahan yang diperbuat daripada kapas kerana kulit bayi akan rasa lebih selesa.
2. Biar longgar, jangan ketat
Cari pakaian longgar untuk mudahkan anak bebas bergerak. Ya, pakaian ketat sangat boleh buat bayi luka atau iritasi apabila bergesel dengan kulit. Kulit bayi masih nipis, belum sempurna, tiada lapisan lemak tebal seperti dewasa. Selain itu, baju yang ketat akan membuat bayi sukar bergerak.
3. Baju butang depan lagi mudah
Biasa tak kena tegur dengan misi sebab baju bayi susah nak tanggal waktu nak timbang? Itulah, elok pilih pakaian yang senang ditanggalkan. Baju butang di depan membantu memudahkan anda. Jangan ambil jenis butang besar atau zip di bahagian belakang. Pada usia tiga bulan bayi belum boleh meniarap, ini boleh menyakitkan tubuh bayi.
4. Utamakan jenis kain
Jangan pilih pakaian berkolar tebal dan keras yang membuat kulit leher bayi gatal. Kain jenis ini menyebabkan bayi cepat berpeluh. Tapi kalau pakai musim sejuk ok la.
5. Semak balik fesyen baju
Konon nak nampak bergaya dengan fesyen terkini. Tapi kalau salah beli, bayi anda tidak selesa dengan pakaian. Jika terlalu sempit, kerutan akan menekan bahagian dada bayi sehingga bayi sesak nafas. Jika ada menyukai rekaan ini, pilih model kerutan yang agak longgar di dada.
6. Elak baju bergetah
Pastikan anda tak beli baju yang jenis bergetah di bahagian pinggang lengan, paha dan pergelangan tangan yang tidak terlalu ketat. Walau anda rasa bayi seleas, tapi sebenarnya ini boleh mengganggu aliran darah bayi. Carilah baju yang lebih selesa...
7. Ketepikan baju bermanik
Tak payah beli pakaian yang nampak cantik dengan hiasan manik, aksesori butang, dan reben. Sekali tarik, dah tercabut. Lagi risau, jika bayi masukkan dalam mulut dan tertelan.
Untuk permulaan, anda boleh tekankan beberapa tip ini. Nampak perkara biasa tetapi jika abaikan, si comel anda akan jadi mangsa. Jadi, moga tip ini membantu anda untuk membeli pakaian baru si kecil.
-mingguanwanita-
|
|