EMPAT tahun menyulam cinta bukan satu tempoh masa yang pendek buat mereka. Empat tahun juga satu persatu dugaan yang hadir dilalui dengan tenang tanpa sebarang perbalahan.
Bagi Anzalna Nasir, pastinya cinta yang tertumpah kepada teman lelaki yang dikenali dengan nama Hanif Zaki tidak pernah berbelah bahagi. Baginya lelaki berkenaan bukan sahaja menjadi pelindung tetapi juga adiwira yang selalu ada di sisinya apabila diperlukan.
Menginjak usia 27 tahun ini pastinya dia mula merasakan sisi kematangan. Pada usia begini kebanyakan rakan yang lain sudah pun bergelar isteri malahan bergelar ibu.
Menganggap ini merupakan fasa yang sesuai untuknya menyimpul cinta dengan ikatan perkahwinan, pastinya baki beberapa bulan ini menjadi medan untuknya mempersiapkan diri.
“Memang debaran itu ada tetapi saya hadapinya dengan tenang. Nak berkahwin bukan satu perkara yang mudah tetapi Alhamdulillah segala yang dirancang berjalan dengan baik.
“Buat masa ini biarlah saya merahsiakan dahulu tarikh pernikahan kami. Yang penting akan berlangsung pada awal tahun depan. “Siapa yang tak gembira mahu berkahwin tetapi yang lebih utama saya mahu majlis itu nanti berjalan dengan lancar dan menjadi kenangan manis yang diingati sampai ke akhir hayat,” tambahnya.
Pun begitu Anzalna bersyukur kerana dia tidak berhadapan dengan dugaan besar dalam tempoh ini. Dia mengerti tempoh beberapa bulan sebelum majlis berlangsung kebiasaannya ‘diisi’ dengan dugaan seperti kebanyakan pasangan yang lain.
Namun antara dia dan Hanif, masing-masing percaya tempoh ini merupakan fasa untuk mereka bermuhasabah diri di samping lebih mengenali diri sebelum bergelar suami isteri.
“Orang kata kalau bertunang dugaannya semakin kuat. Hal kecil pun boleh menjadi besar kalau tak kena gaya. “Untungnya kami tidak menjalani proses pertunangan dan hanya menjalaninya sebelum majlis pernikahan nanti.
“Lagi satu dalam fasa sebelum menjelang hari besar itu saya dan Hanif sudah jarang berjumpa. Sebab itu antara kami tak ada masalah dan semuanya berjalan dengan baik,” kata Anzalna tersenyum.
- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan ... thash.COyubFl3.dpuf
|