Cardiff: Seorang wanita melahirkan seorang bayi seberat 5.7 kilogram (kg) minggu lalu - hampir dua kali ganda saiz bayi biasa.
Saima Amaf dimaklumkan anak dikandungnya mungkin bersaiz luar biasa, namun tidak menyangka Aaron - yang dilahirkan secara Caesarean di Hospital Universiti Wales lebih besar.
Dua anak Saima sebelum ini agak kecil ketika dilahirkan dengan yang sulung, Azeel, lapan, seberat 2.2kg manakala adiknya Sami, lima, cuma 1.7kg.
Berat purata bayi lelaki dilahirkan di Britain adalah 3.5kg.
Suaminya Munawar Amaf, 38, berkata: “Bidan yang menyambut kelahirannya berkata, dia tidak pernah melihat bayi sebesar itu.
“Anak saya menjadi selebriti di hospital kerana semua doktor dan jururawat mahu melihatnya.”
Katanya, mereka dimaklumkan ketika kandungan berusia 32 minggu bahawa bayi lelaki itu besar dan Saima dicadangkan menjalani pembedahan Caesarean.
“Sebenarnya kami pelik kerana dua anak kami sebelum ini dilahirkan normal.
“Kami tidak menyangka anak kami sebesar ini,” kata Munawar.
Pejabat Statistik Kebangsaan melaporkan, 71 daripada 33,747 bayi dilahirkan di Wales pada 2013 mempunyai berat lebih 4.9kg.
Bayi terbesar dilahirkan secara normal di Britain ialah George King dengan berat 7.1kg pada Februari 2013. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Oktober 2015 @ 6:45 AM
« »
SAIMA bersama anaknya Aaron.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89328#sthash.RkymklX9.dpuf
|