BEIJING – Sebuah restoran di sini mencipta kelainan apabila menawarkan hidangan ikan yang telah dimasak, namun masih hidup untuk dinikmati pelanggan. Melalui satu rakaman video menunjukkan seekor ikan kap yang disediakan dalam gaya masakan Yin Yang ‘hidup semula’ sebaik sahaja seorang pelayan menuangkan alkohol di dalam mulutnya. Klip video itu dipercayai dirakam di China. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada ikan tersebut sudah benar-benar mati selepas dimasak atau sebaliknya. Hal ini kerana bahagian badan ikan kap yang bersaiz besar itu sudah dikelar dan dihiris sebelum dimasak. Namun, apabila pelayan itu memasukkan sedikit alkohol di dalam mulut ikan berkenaan yang terbuka, haiwan tersebut seolah-olah kembali bernafas.
“Sekurang-kurangnya pastikan ikan itu mati sebelum memakannya,” komen seorang pengguna yang marah selepas menyaksikan video tersebut. - AGENSI
|