Aweera Bimbang Dimarahi Jika Berambut Pendek
Aweera masih mempertimbangkan untuk tampil imej baharu.
PETALING JAYA: Penyanyi Aweera yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Sony Music sedang mempertimbangkan untuk tampil dengan imej baharu dengan berambut pendek.
Aweera atau nama sebenar Nasharul Aweera Noriyissham, 23, bagaimanapun berkata, dia bimbang jika perkara tersebut dilakukan ia akan menimbulkan kemarahan peminat yang suka dengan imejnya berambut panjang yang dibawanya ketika ini.
"Saya memang sedang fikir untuk ubah penampilan bersesuaian dengan imej penyanyi solo, lagi pula imej sekarang orang masih nampak saya sebagai anggota Mojo.
"Saya ada terfikir untuk potong rambut juga tetapi bimbang ada peminat yang tidak suka dan mahukan imej rambut panjang yang saya bawa sejak dahulu," katanya kepada mStar Online.
Dalam perkembangan yang sama, Aweera bakal muncul dengan single terbaharunya tidak lama lagi. Katanya, peminat dapat melihat kelainan yang bakal ditampilkan dalam lagu baharu tersebut.
"Lagu tersebut masih dalam proses lagi, boleh saya katakan ia berbeza daripada lagu-lagu yang saya biasa bawakan bersama Mojo dahulu," katanya.
Sementara itu, bercerita tentang peribadi, Aweera yang menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi baharu iaitu Nurul Shazia berkata belum merancang untuk berumah tangga.
Dia mahu memberi perhatian terlebih dahulu terhadap kerjaya nyanyian sebelum mengambil keputusan membina keluarga.
"Dia (Nurul Shazia) baru sahaja ingin melangkah dalam dunia seni dan saya pula baru tukar syarikat rakaman. Buat masa ini kami belum merancang untuk berkahwin.
"Kalau boleh apabila semuanya benar-benar bersedia barulah kita fikir ke arah itu, sekarang fikir untuk kerja dahulu," ujarnya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|