Seorang wanita berdepan hukuman penjara selepas mengaku salah mencuri identiti anak perempuannya yang sudah lama ditinggalkan untuk mendapatkan pinjaman pelajaran dan mendaftar di kolej, lapor akhbar New York Post.
Laura Oglesby, 48, menyamar sebagai anak perempuannya, Lauren Hays selama lebih dua tahun dalam penipuan yang memperdayakan kerajaan persekutuan dan penduduk bandar kecil, Mountain View. Pada 2016, Oglesby memohon kad keselamatan sosial atas nama Hays. Sejak itu, Oglesby yang ketika itu berusia 43 tahun menggunakan identiti anak perempuannya dengan mengatakan namanya ialah Lauren Hays dan dia berusia 22 tahun.
Dia juga menggoda lelaki berusia usia awal 20-an yang tidak menyedari bahawa Oglesby hampir dua dekad lebih tua daripada usia yang dikatakannya. “Semua orang mempercayainya. Dia juga mempunyai teman lelaki yang percaya bahawa dia berusia 22 tahun,” kata Ketua Jabatan Polis Mountain View, Jamie Perkins. Gambar yang diperoleh daripada stesen berita KY3 Missouri menunjukkan Oglesby mempunyai akaun media sosial Snapchat dan menyamar sebagai Hays dengan menggunakan aplikasi penapis untuk menjadikan wajahnya nampak muda. Oglesby mendaftar di Universiti Southwest Baptist. Dia turut memohon pinjaman dan menerima wang berjumlah AS$9,400 (RM39,673) dalam bentuk pinjaman persekutuan dan geran pendidikan berjumlah AS$5,920 (RM24,985). Bagaimanapun, selepas lebih dua tahun, penipuan tersebut akhirnya terbongkar pada Ogos 2018. Polis Mountain View telah dihubungi oleh pihak berkuasa di Arkansas yang percaya Oglesby telah melakukan penipuan kewangan dengan menggunakan nama anak perempuannya. Oglesby berdepan hukuman penjara lima tahun tanpa parol selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja memberikan maklumat palsu kepada Pentadbiran Keselamatan Sosial. Di bawah syarat perjanjian rayuannya, Oglesby juga mesti membayar AS$17,521 (RM73,949) sebagai ganti rugi kepada Southwest Baptist University di Missouri dan kepada anak perempuannya. Sumber: Kosmo
|
ADVERTISEMENT