Kuala Lumpur: Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mengakui terkejut dengan peletakan jawatan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Bendahari Agung gabungan itu. Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, beliau tidak mengetahui sebab peletakan jawatan Ahmad Samsuri. "Sudah pasti saya terkejut. Tapi yang lain saya tidak pasti. Saya tak tahu (Ahmad Samsuri letak jawatan) sebab saya baru saja dilantik pada Isnin. Jadi saya tidak ada apa-apa maklumat. "Yang itu kena tanya pada (Pengerusi PN) Tan Sri (Muhyiddin Yassin). Saya memang tidak ada maklumat kerana lagi pun saya baru dilantik dan kali pertama datang mesyuarat pada malam tersebut. "Malam itu memang Yang Amat Berhormat (Ahmad Samsuri) memang tak ada, tak hadir pada malam itu," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat, hari ini. Ahmad Samsuri sebelum ini dilapor memilih untuk mengunci mulut berhubung tindakannya meletak jawatan secara mengejut sebagai Bendahari Agung PN.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Paip Agihan Air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng dilapor hanya memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu pada masa yang sesuai Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut menyatakan beliau tidak mengetahui punca Ahmad Samsuri meletakkan jawatan. "Keputusan yang dibuat oleh Dr (Ahmad) Samsuri bagi saya ulas panjang pun susah sebab saya tahu tahu punca kenapa beliau letak jawatan. Itu hanya beliau dengan Pengerusi PN (Muhyiddin). "Saya harap, doakan serta mungkin merayu kepada rakan-rakan dalam Pas supaya bersabar dan janganlah (kerana) marahkan nyamuk, kelambu dibakar," katanya. Sumber – Harian Metro |
ADVERTISEMENT