|
SEPANG – Cubaan seorang warga China untuk memasuki negara ini gagal apabila ditahan selepas didapati memiliki pas lawatan sosial yang tidak sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6 petang itu, lelaki berusia 33 tahun ditahan selepas menjalani pemeriksaan rutin oleh pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS). AKPS dalam kenyataannya berkata, semakan mendapati pas lawatan sosial yang dimiliki individu berkenaan tidak teratur dan menyalahi peraturan yang ditetapkan. “Lelaki itu ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan siasatan lanjut dijalankan Bahagian Penguatkuasa KLIA,” katanya hari ini. AKPS memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang imigresen termasuk penggunaan pas lawatan sosial yang tidak sah. “AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di semua pintu masuk antarabangsa bagi memastikan keselamatan negara serta pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang sedia ada,” jelasnya. Sumber : – KOSMO! ONLINE
|
ADVERTISEMENT