|
Jakarta: Ingatkan sakit mata, rupanya diserang strok. Itu yang berlaku kepada wanita berusia 32 tahun dari Jakarta Selatan, Indonesia yang disahkan mengalami strok pada pertengahan Januari.
Airin Stanyawati yang juga pekerja swasta berkata, strok berkenaan berlaku akibat saluran darah ke otak yang tersumbat. Menurutnya, ia berlaku secara tiba-tiba, tanpa sebarang tanda amaran yang jelas. "Pada satu pagi, ketika mencuci muka saya perasan sebelah mata nampak kecil, saya ingatkan cuma sakit mata atau bengkak kerana baru bangun tidur," kata Airin seperti dilaporkan Detikcom. Wanita itu mengakui tidak mengendahkan simptom berkenaan dan bekerja seperti biasa, namun beberapa perkara pelik mula berlaku. "Lepas makan tengah hari, ketika di pejabat saya rasa sangat mengantuk secara tiba-tiba. Saya menguap hingga lima kali berturut-turut. "Biasanya orang akan menguap sekali sekala sahaja, tapi saya fikir mungkin otak kurang oksigen. "Namun, ketika bila berbual dengan kawan, lidah rasa kaku. Bila bercakap jadi pelik, macam pelat," katanya. Airin mula sedar sesuatu tidak kena dengan badannya, tetapi dia tetap meneruskan kerja. "Lidah rasa sangat berat. Ketika tengok cermin di atas meja, saya cuba senyum dan nampak muka tak seimbang, kanan dan kiri tak sama. "Saya mula berdebar-debar dan panik. Saya cuba mesej suami untuk beritahu, tapi banyak salah eja, tak tahu sebab panik atau sebab serangan itu," katanya. Airin kemudian dibawa ke unit kecemasan untuk pemeriksaan, dan pakar saraf pada mulanya mengesyaki dia mengalami Transient Ischaemic Attack (TIA) atau strok ringan kerana perubahan pada wajahnya. Keputusan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dilakukan mengesahkan wanita itu mengalami strok (angin ahmar) Dia kemudian menjalani rawatan lanjut iaitu Digital Subtraction Angiography (DSA), dan doktor menemui sumbatan pada saluran darah ke otak. Bagaimanapun, Airin mengalami serangan strok kedua selepas prosedur DSA, dan doktor mengesyorkan pemeriksaan jantung oleh pakar. "Doktor kata ada petanda jantung saya berlubang. Saya terkejut sebab sejak kecil tak pernah ada masalah. "Doktor akan membuat pemeriksaan jantung dengan ujian gelembung (bubble test)," kata Airin. Daripada pemeriksaan itu, Airin disahkan menghidap Patent Foramen Ovale (PFO), iaitu lubang pada jantung yang tidak tertutup sepenuhnya. Airin kemudian menjalani pembedahan menutup lubang berkenaan. "Gumpalan darah dari lubang jantung itulah yang dipercayai 'lari' ke otak menyebabkan strok," katanya yang kini sudah sihat tanpa sebarang komplikasi. Sumber : Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
3-2-2026 06:16 AM GMT+8 , Processed in 0.164837 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.