Seorang warga emas lingkungan usia 60-an berpakaian sari sedikit senteng serta berkaki ayam gigih berlari meredah jalan berdebu dan jalan aspal panas. Sekali pandang, kelihatan macam orang yang buat kerja gila. Namun, nenek ini bukan calang-calang orang kerana Lata Bhagwan Kare dari Baramati, Maharashtra merupakan antara peserta maraton tertua yang mampu memberi tentangan hebat dalam pelbagai acara larian di negeri tersebut. Lata Kare yang memulakan 'kerjaya' sebagai pelari maraton demi mencari wang bagi menyara kehidupannya yang miskin. Upah sebagai buruh ladang kasar tidak cukup menampung kehidupan mereka tiga beranak; suaminya bekerja sebagai pengawal keselamatan ditambah dengan kesihatan yang merosot, manakala si anak lelaki tidak mempunyai pekerjaan tetap. Permulaan pelari berusia 67 tahun ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana amat pelik bagi seseorang yang lanjut usia sepertinya dilihat berlari-larian. Beliau mula menyertai larian maraton sejak 2013, tampil dengan pakaian sari “nauvari” dan tidak beralas kaki. Menurut Lata Kare, tanpa capal dia dapat berlari lebih yakin dan laju.
Wang kemenangan yang diperolehi dibelanjakan untuk keperluan keluarga. Pada tahun lalu, Lata Kare memenangi 5,000 Rupee (RM290) yang dibelanjakan untuk menampung rawatan sakit jantung suami serta yuran mengimbas MRI yang sangat mahal. Baru-baru ini, beliau juga memenangi hadiah pertama kategori warga emas di Marathon Sharad, di mana wang yang dimenangi akan digunakan untuk membina kediaman yang lebih selesa. Kisah hidup Lata Kare sememangnya memberi inspirasi kepada ramai orang, tidak ketinggalan penggiat seni tempatan. Baru-baru ini, kisah hidup beliau telah diangkat ke layar perak dengan tajuk Lata Bhagwan Kare – Ek Sangharsh Gatha yang diarahkan oleh Naveen Deshaboina. Pendukung utama filem ini tidak lain dan tidak bukan adalah Nenek Lata Kare sendiri. Filem biopik ini telah pun ditayangkan di pawagam pada 17 Januari 2020. Menerusi filem itu, barulah kita akan faham betapa perit kehidupan Lata Kare, seorang yang berusia renta tapi masih gagah mencari rezeki dan kekuatan luar biasa yang mendorong beliau melakukan perkara di luar kotak fikir.
Nenek Lata berlari kerana cinta. Demi cinta hati, apa yang anda sanggup lakukan? - CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|