Saban tahun, kebakaran hutan akan berlaku sehingga mengakibatkan jerebu teruk di
Asia Tenggara. Walaupun ramai mendakwa ianya berpunca dari Indonesia, namun negara itu enggan menerima bantuan pada tahun-tahun sebelumnya. Bagaimanapun, tahun ini kerajaan Indonesia telah bertindak lebih awal bagi mengawal kebakaran hutan tersebut daripada menjadi lebih buruk. Mereka memulakan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan sepanjang dua minggu lalu. Antara tempat yang terlibat dengan pembenihan awan ini adalah di kawasan panas seperti Riau dan merancang untuk melaksanakan kaedah sama di Borneo. Operasi berkenaan dijangka berlangsung sepanjang musim kering ini yang mungkin berakhir September nanti, seperti dipetik dari Harian Metro. Jurucakap Agensi Penilaian dan Penggunaan Teknologi (BPTT), Tri Handoko Seto berkata, pihaknya mengambil langkah berkenaan sebelum kebakaran hutan bermula. "Fokus utama adalah kawasan tanah gambut yang dikeringkan untuk proses penanaman kerana ia sangat mudah terbakar." Kebakaran tahun lalu menyebabkan jerebu teruk di Asia Tenggara sehingga menyebabkan sekolah di Malaysia dan Indonesia ditutup pada September 2019. Sementara itu, aktivis alam sekitar Indonesia, Seto memberi amaran bahawa masalah jerebu ketika pandemik Covid-19 adalah kombinasi yang 'membunuh'. Berdasarkan penilaian semasa, Seto meramal kebakaran mungkin berlaku tetapi tidak seteruk tahun lalu. "Tapi, kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Jika keadaan menjadi semakin teruk dan berlaku jerebu seperti tahun lalu, kami akan guna teknik lain. Marilah kita berdoa supaya ia tidak sampai ke tahap itu."
Jadi, besar harapan kita agar ianya tidak seteruk tahun 2019. Sementelah lagi bertembung dengan pandemik Covid-19 yang masih belum menemui penawarnya. - CARI |
ADVERTISEMENT