Ketika berkongsi cerita dengan mStar, Nur Najihah Nazri berkata dia sendiri tidak menyangka Muhd Irfan Zikri Mohd Ghazali, 22, begitu tekad mahu memperisterikannya walaupun dirinya tidak sempurna seperti wanita lain.
"Saya dan ayah kemalangan ketika dalam perjalanan ke sekolah pada Februari 2018. Motosikal yang kami naiki dilanggar sebuah kereta. Ayah terseliuh paha, manakala saya patah leher dan mengalami kecederaan saraf tunjang.
"Saya masih tidak mampu berdiri atau berjalan. Setiap sebulan sekali saya perlu menjalani rawatan fisioterapi. Doktor tidak memberi jaminan bila saya akan sembuh 100 peratus sebab kecederaan saraf tunjang berbeza untuk setiap orang.
"Namun, saya tetap bersemangat dan positif untuk sembuh seperti sediakala tambahan pula suami sering memberikan kata-kata semangat. Begitu juga dengan netizen selepas video itu viral," kata gadis berusia 20 tahun ini.
Menyingkap serba sedikit kisah perkenalan mereka, gadis yang senang disapa sebagai Najihah ini berkata, dia dan suami berkenalan menerusi platform permainan dalam talian iaitu PlayerUnknown’s Battleground atau PUBG, pada September tahun lalu.
Tidak berapa lama selepas berkenalan, menurut Najihah, lelaki berkenaan meluahkan hasrat untuk bertemu dengannya.
"Masa suami beritahu nak jumpa, saya menolak sebab takut dia tak boleh terima keadaan saya. Tapi dia berkeras nak jumpa dan datang rumah. Dia siap hubungi ibu saya, dan ibu beritahu, datanglah rumah dahulu lihat Najihah kalau ikhlas nak berkawan.
"Selepas datang ke rumah kira-kira dua minggu selepas kenal, rupa-rupanya suami semakin mahu berkenalan lebih rapat dengan saya. Awal November, dia luahkan hasrat mahu halalkan saya di hadapan ibu.
"Saya mulanya ragu-ragu sebab pertamanya, kami masih muda dan kedua, takut dia main-main. Kemudian ibu minta dia bawa keluarga, sebab takut keputusan itu hanya keputusan sendiri.
"Kemudian dia bawa keluarganya... Alhamdulillah, keluarganya menerima saya seadanya dan terus tetapkan tarikh nikah. Akhirnya kami selamat diijabkabulkan pada 12 Februari lalu," katanya yang berasal dari Dungun, Terengganu.
Tambah Najihah yang merupakan anak ketiga daripada empat adik beradik ini, keikhlasan dan kesungguhan lelaki itu membuatkan hatinya terbuka dan yakin untuk menerimanya sebagai suami.
"Selepas kemalangan, saya agak tertekan... sebab diri tak seperti dulu. Saya tak mahu jumpa orang, orang beri kata-kata semangat pun seperti 'tak masuk' dalam kepala.
"Namun semuanya berubah selepas kenal dengan suami. Dia ikhlas, bersungguh-sungguh dan tak putus-putus memberi kata-kata sokongan kepada saya. Kehadirannya ibarat sinar yang menerangi kehidupan saya semula.
"Saya jujurnya tak sangka video tu viral. Mesej yang cuba saya sampaikan, kekurangan diri bukanlah penghalang untuk bahagia.
"Pada mereka yang juga mengalami keadaan seperti saya, jangan down terlalu lama... bangkit cepat supaya boleh sembuh cepat," ujarnya lagi.
Sumber: mStar