KUALA LUMPUR: Adakah pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan membeli kelab Valencia? Teka teki itu timbul susulan beberapa perkongsian Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi akaun Instagram Story miliknya, hari ini, mengenai kelab Sepanyol itu. "Wang tidak memotivasikan saya. Kejayaan dan mencipta sejarah adalah motivasi saya. Ia bukan satu rahsia bahawa saya menyukai bola sepak. "Saya bukan baru dalam bola sepak. Saya membentuk sebuah kelab (JDTFC) daripada berdepan penyingkiran setiap tahun hingga menjadi pasukan yang mendominasi kejuaraan. "Saya sudah memenangi 16 gelaran dalam lapan tahun. Kami pasukan terbesar di Asia Tenggara dan antara yang terbesar di Asia.
"Saya ingin mengembangkan empayar saya, melebarkan sayap saya dan mendapat cabaran baharu," tulis TMJ. Spekulasi bahawa TMJ mungkin mengambil alih Valencia sudah muncul sejak beberapa tahun lalu dengan beliau juga dikatakan memiliki hubungan rapat bersama pemilik kelab itu, Peter Lim. Laporan media di Sepanyol mendakwa pengambilalihan pasukan juara enam kali La Liga itu bernilai sekitar 408 juta euro (RM1.9 bilion) dengan pasukan itu kini sedang bergelut dan hanya dibezakan lima mata daripada zon penyingkiran. Selain itu, menerusi perkongsian sama, TMJ turut menjelaskan Valencia memerlukan seseorang yang tahu mengenai bola sepak. "Apa yang Valencia perlukan? Anda memerlukan seseorang yang tahu mengenai bola sepak, dahagakan kejayaan, berminat dan memahami betapa besarnya Valencia sebagai sebuah kelab. "Langkah pertama, kita memerlukan orang bola sepak di dalam kelab," katanya. Sumber : Berita Harian |
ADVERTISEMENT