Kuala Lumpur: Salah faham mengenai penjagaan anak didakwa punca pergaduhan suami isteri di Jalan Radin Bagus, Sri Petaling di sini, yang video kejadian itu tular di media sosial semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pasangan terbabit datang ke Balai Polis Sri Petaling pada 4 petang hari sama. "Hasil soal siasat, pasangan itu mengaku berlaku salah faham mengenai penjagaan anak. "Ketua Balai Polis Sri Petaling menasihati mereka supaya membuat laporan polis, namun mereka enggan berbuat demikian dan sudah berdamai sebelum beredar dari balai," katanya dalam kenyataan hari ini. Sebelum itu, rakaman berdurasi satu minit 10 saat dimuat naik seorang pemilik akaun di Twitter yang menunjukkan suami isteri bertengkar sambil memangku seorang bayi dalam kereta di hadapan sebuah kedai di Jalan Radin Bagus. Perakam video itu mendakwa lelaki terbabit memukul bayi dan isterinya, menyebabkan dia menjerit meminta bantuan orang awam dan rakaman kejadian berkenaan tular di media sosial. Mengulas lanjut, Anuar menafikan komen warganet yang mendakwa polis tidak menjawab telefon dan tidak melaksanakan tugas dengan baik. "Saya menafikan komen berkenaan dan segala tindakan diambil oleh Ketua Balai Polis Sri Petaling. "Dakwaan netizen (warganet) adalah tidak benar sama sekali," katanya. Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya berhati-hati dalam memberi komen yang menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan persepsi orang awam terhadap polis. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT