Janna Nick masih elum menemui ubat yang sesuai bagi merawat gangguan mentalnya. Kata Janna, sejak disahkan mengalami penyakit bipolar, sudah empat kali dia bertukar ubat.
Ada yang tak sesuai dengan kerjanya sebagai pelakon. "Sekarang saya dalam fasa mencari ubat yang sesuai, setakat ini saya dah empat kali tukar ubat. "Satu masalahnya sebab kerja saya memerlukan emosi. Sebagai pelakon saya perlukan emosi yang sangat maksimum bila berlakon... kalau kena babak sedih, kena betul-betul sedih. "Bila ambil ubat, dia akan buatkan kita jadi relak... disebabkan itu saya masih mencari ubat yang sesuai dengan kerja saya," katanya dalam satu sesi FB Live.
Pelakon ini juga berkata dia sedang berjuang untuk diri sendiri bagi melawan penyakit tersebut. "Saya masih berjuang untuk diri sendiri... saya akui apabila ambil ubat ia sangat membantu. "Cuma apabila keluar bekerja saya tak boleh makan ubat walaupun saya sebenarnya sangat perlukan ubat... saya boleh rasa perbezaan kalau makan ubat.
"Sampai sekarang saya macam tak percaya yang saya ada bipolar." Aktres ini mengakui yang dia sangat susah sepanjang PKP ini apabila tidak dapat bekerja seperti biasa. "Penyakit saya ini ia lebih membantu kalau saya keluar pergi bekerja sebabnya badan dan minda saya dah terbiasa bekerja sejak dari umur 16 tahun lagi.
"Kalau sebelum ini, saya rasa tak seteruk macam tahun ini sebab bila rasa penat kerja, saya boleh pergi bercuti ke luar negara sebagai terapi. "Sekarang dah dua tahun kita tak boleh travel... Apa yang saya buat sekarang kalau ada suara-suara kecil bermain di kepala, saya akan cuba salurkan benda itu dengan terus buat skrip." Dalam masa yang sama Janna menasihatkan individu yang mengalami nasib sama sepertinya supaya segera mendapatkan rawatan.
"Penyakit mental ni dia akan semakin teruk kalau kita tak dapatkan rawatan... hanya dengan makan ubat baharu kita dapat rasa perbezaan. "Persekitaran yang toksik pun akan buat orang rasa tertekan. "Saya sangat bersimpati dengan orang yang tidak berkemampuan untuk dapatkan khidmat pakar psikatri... macam sesetengah orang yang duit mereka boleh pergi jumpa psikatri dan dapatkan ubat." -CARI
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|