Setelah sekian lama mendiamkan diri berhubung masa depannya bersama Juventus, penyerang prolifik, Cristiano Ronaldo akhirnya membuka mulut semalam. Menurut Ronaldo, spekulasi dan khabar angin seperti itu jelas tidak mengormati mana-mana kelab yang dikaitkan dengannya termasuk majikannya iaitu Juventus.
Sejak beberapa hari ini, nama Ronaldo hangat diperkatakan apabila dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester City, PSG serta dua bekas kelabnya, Manchester United dan Real Madrid. Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti sebelum ini secara terbuka menafikan bahawa pihaknya berminat untuk membawa semula Ronaldo ke Santiago Bernabeu. Justeru, kapten Portugal itu telah memuat naik satu hantaran di Instagramnya bagi menjawab segala khabar angin tersebut sekali gus membersihkan namanya daripada segala spekulasi yang disifatkannya sebagai biadab itu.
"Sesiapa yang mengenali saya sedar betapa fokusnya saya terhadap pekerjaan saya sebagai pemain bola sepak. Saya memang kurangkan percakapan dan lebih banyak tindakan kerana ia telah menjadi moto saya sejak awal karier. "Namun, disebabkan semua perkara yang diperkatakan dan ditulis baru-baru ini, saya harus menyatakan kedudukan saya. “Bukan saja ia tidak menghormati saya sebagai seorang manusia dan seorang pemain, masa depan saya juga dilaporkan secara semberono dan amat tidak menghormati semua kelab yang terlibat dalam khabar angin ini, termasuk pemain dan kakitangan mereka. “Kisah saya di Real Madrid telah ditulis dan ia telah dirakam. Dengan kata-kata dan angka, trofi dan gelaran, dalam rekod dan tajuk-tajuk utama. Ini semua ada di muzium di Stadium Santiago Bernabeu dan juga di fikiran setiap peminat kelab. “Saya tahu peminat Real Madrid akan terus meletakkan saya di hati mereka, dan saya juga pastinya akan meletakkan mereka di hati saya,” tulis Ronaldo. Tambahnya, beliau mengambil keputusan untuk bersuara memandangkan terdapat banyak khabar angin dan spekulasi tentang masa depannya bersama beberapa pasukan.
|
ADVERTISEMENT