|
Kubur lebih 100 tahun dipindah
Kerja-kerja menggali semula kubur yang didakwa berusia lebih 100 tahun.
LIMBANG: Sebuah kubur lama dipercayai berusia lebih 100 tahun ditemui di kawasan jalan baharu Ipai-Pendam pada Isnin.
Kontraktor projek pembinaan jalan baharu Ipai ke Pendam menjumpai batu nisan yang tiada sebarang tulisan itu sebelum memaklumkan kepada Ketua Kampung Lubok Segantang Latip Majit.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata Latip memaklumkan kubur tersebut berusia lebih 100 tahun.
“Ketua kampung meminta Jabatan Agama Islam (JAIS) untuk memindahkan kubur tersebut ke tanah perkuburan berhampiran.
“Operasi memindahkan kubur tersebut dilakukan pada pukul 9:00 pagi hingga 1:00 tengah hari ke Tanah Perkuburan Islam, Lubok Sigantang bersama polis, JAIS, Kementerian Kesihatan, penduduk kampung dan syarikat pembinaan terbabit mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abang Zainal memberitahu ketika digali semula, tiada sebarang rangka manusia atau keranda ditemui.
“Ketua Kampung berpuas hati dengan usaha yang dijalankan dan bersetuju penggalian dihentikan dan hanya memindahkan batu nisan ke tempat baharu,” katanya.
oleh Mastura Ismail
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|