Roti canai dibuat sebagai roti sandwic
Roti canai adalah sarapan kegemaran rakyat Malaysia. Biasanya ia dimakan dengan kuah dhal, sambal atau kari, namun ada juga yang memakan roti canai dengan susu pekat atau gula. Namun sebuah video yang tular ini menunjukkan cara yang agak luar biasa untuk memakan roti canai. Video yang dikongsikan oleh pengguna Twitter atas nama AkeemSharyzal itu menunjukkan seorang tukang masak meletakkan telur di bawah roti canai yang telah siap digoreng. Selepas roti canai dengantelur itu siap dimasak, ia disediakan untuk dibungkus, namun daripada menyediakan hidangan itu dengan kuah dhal dan kari, ia dibungkus dengan gaya sandwic. Di dalam roti canai itu diletakkan kepingan keju, dan daging seterusnya ditambah dengan jeruk dan bawang. Tidak cukup dengan itu, sosej juga diletakkan ke atasnya bersama telur goreng serta sos cili dan salad. Roti canai itu kemudian digulung seperti sandwic Subway sebelum dibungkus. Cara hidangan roti canai itu yang unik mendapat pelbagai komen dari netizen, ada yang mengaku ia kelihatan sedap dan ada yang merasakan ia tidak sepatutnya dimakan seperti sandwic.
|