OLIMPIK: Brisbane tuan rumah 2032
TOKYO: Brisbane dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2032 hari ini, sekali gus menjadi bandar ketiga di Australia menganjurkan temasya berprestij itu selepas Melbourne dan Sydney. "Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dengan bangganya mengumumkan tuan rumah temasya edisi ke-35 Olimpik dianugerahkan kepada Brisbane, Australia," kata Presiden IOC, Thomas Bach selepas undian di sini. Pengumuman itu disambut sorakan oleh delegasi Brisbane dan penduduk bandar itu yang menunggu keputusan berkenaan turut meraikannya dengan pertunjukan bunga api. Kejayaan Brisbane itu sudah dijangka selepas menjadi calon tunggal yang menawarkan diri menjadi tuan rumah 2032 selain mendapat sokongan padu 15 ahli Lembaga Eksekutif IOC, bulan lalu.
Keputusan itu bermakna IOC sudah menetapkan tiga tuan rumah temasya terbesar dunia itu dengan Paris akan mengelolakan pada 2024 dan Los Angeles (2028) "Kami tahu apa yang diperlukan dilakukan bagi memastikan kejayaan penganjuran temasya itu," kata Perdana Menteri Australia, Scott Morrison di Canberra. Australia sudah mengelolakan dua kali temasya itu pada Melbourne 1956 dan Sydney 2000. - AFP https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2021/07/841782/olimpik-brisbane-tuan-rumah-2032
|