Kuala Lumpur: Pemanah lelaki negara, Khairul Anuar Mohamad harus lebih bersedia dengan tidak lagi mengharapkan tuah semata-mata ketika menentang bekas juara dunia dari Korea Selatan, Kim Jinwoo dalam pusingan ketiga recurve individu Olimpik Tokyo 2020, Sabtu ini. Pada dua pertembungan peringkat awal, nasib lebih menyebelahi pemanah negara berusia 29 tahun itu apabila dia berjaya melangkah ke pusingan ketiga. Dia mengatasi pemanah Finland, Annti Visktrom (pusingan pertama) dan pemanah China, Wang Dapeng (pusingan kedua) menerusi penentuan shoot-off selepas terikat 5-5, semalam. Namun, Khairul Anuar seharusnya lebih bersedia apabila berdepan Kim berikutan reputasi dimiliki lawannya itu antara watak penting membantu pasukannya meraih pingat emas acara berpasukan, sekali gus memberi amaran bahawa pertemuan Sabtu ini agak sukar. Khairul Anuar berkata, dia perlu tampil dengan lebih fokus dalam misi melangkah ke suku akhir, sekali gus mengulangi pencapaian dilakar pada Olimpik Rio 2016. "Alhamdulillah saya memenangi kedua-dua perlawanan (semalam) biarpun menerusi penentuan shoo-off (pusingan pertama dan kedua). "Saya tidak beraksi dengan baik dalam perlawanan kerana hilang fokus akibat terganggu. Dalam aksi semalam, tipu jika saya katakan tidak berasa tertekan. "Namun, jika saya boleh beri tumpuan 100 peratus dalam setiap panahan, saya percaya boleh atasi sebarang tekanan dan keadaan angin pada pusingan ketiga nanti," katanya. Mengikut rekod, ketika ini hanya tinggal Khairul Anuar yang juga memenangi perak pada Kejohanan Dunia 2019 memikul cabaran negara dalam acara memanah selepas pemanah wanita, Syaqiera Mashayikh tersingkir di pusingan pertama, Ahad lalu. sumber : HMetro
|