Oleh Nur Izzati Mohamad - November 21, 2021 @ 3:46pm[email protected]
Norlela (depan, empat dari kiri) pada Majlis Penyerahan Cek Tabung Bantuan Pelajar COVID-19 di Bukit Mertajam, hari ini. - NSTP/Danial Saad
BUKIT MERTAJAM: Kekangan untuk ke fasiliti kesihatan serta enggan disuntik vaksin jenama lain daripada yang diterima terdahulu, ialah antara punca sebilangan rakyat negeri ini menolak dos penggalak imunisasi COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr Norlela Ariffin, ketika mendedahkan perkara itu berkata ia turut menyumbang kepada faktor Pulau Pinang menjadi antara lima negeri mencatat kadar suntikan dos penggalak yang terendah, setakat ini.
Berdasarkan maklumat diterima pihaknya melalui pusat pemberian dos penggalak membabitkan klinik dan hospital swasta, beliau berkata, kebanyakan mereka yang diminta hadir janji temu juga tidak menjawab panggilan telefon.
"Ada dalam kalangan individu terbabit memberi pelbagai alasan kesukaran untuk hadir, termasuk masalah parkir kenderaan di hospital, terpaksa berjalan jauh dan enggan disuntik vaksin jenama lain daripada yang mereka terima sebelum ini.
"Ada warga emas pula yang menyatakan mereka tidak ke mana-mana, justeru untuk apa mengambil dos penggalak.
"Ia menjadi satu cabaran kepada kita," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Tabung Bantuan Pelajar COVID-19, di sini, hari ini.
Melalui bantuan itu, seramai 111 pelajar kematian ibu atau bapa akibat COVID-19 menerima sumbangan RM1,000 seorang, membabitkan dana berjumlah RM111,000.
Dana itu dikumpulkan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Lions Club of Bayan Baru yang diterajui Presidennya, Leena Lee Soch Khim.
Mengulas lanjut, Norlela berkata, kerajaan negeri kini berusaha meningkatkan kesedaran berhubung dos penggalak vaksin COVID-19.
Ia termasuk mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dos penggalak dalam usaha memberi kemudahan untuk rakyat mendapatkan pelalian berkenaan.
"Hingga kini, kita mempunyai 74 klinik swasta dan lapan hospital swasta terbabit dalam pemberian dos penggalak ini.
"Di bahagian pulau pula, ada tambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dos penggalak di Sunshine Square dengan kapasiti 1,500 suntikan sehari," katanya.
Beliau menjelaskan, pemberian dos penggalak amat perlu bagi memberi perlindungan tambahan susulan penularan varian Delta yang membimbangkan.
"Varian Delta memang cepat merebak tetapi berikutan usaha vaksinasi, tahap jangkitannya terkawal. Oleh itu, kita menyeru pengambilan dos penggalak," katanya.
Sementara itu, Norlela berharap lebih banyak pihak akan tampil menyalurkan bantuan bagi membantu pelajar yang kematian ibu atau bapa akibat COVID-19.