|
![](https://assets.hmetro.com.my/images/articles/terbelah_1646280032.jpg)
SEBAHAGIAN pengunjung berjalan di beting pasir sejauh 600 meter bagi melihat fenomena laut 'terbelah' di Pantai Tanjung Rhu. FOTO Hamzah Osman
Langkawi: Kemunculan beting pasir sejauh 600 meter di Pantai Tanjung Rhu, di sini, hari ini, menarik 400 pengunjung bagi melihat fenomena laut 'terbelah'.
Fenomena unik selama sejam mulai jam 7 pagi itu muncul sekali dalam setahun selepas air laut di kawasan itu surut sehingga 0.1 meter.
Pengunjung, Azliyanti Ahmad, 40, berkata, dia tiba awal di kawasan itu bagi melihat kejadian yang jarang berlaku untuk dijadikan kenangan.
"Ia (kejadian) unik dan hanya berlaku sekali dalam setahun, jadi memang teruja sangat untuk datang ke sini dan berjalan santai di beting pasir.
"Kalau air pasang kawasan ini kedalamannya kira-kira 3.5 meter, tidak mungkin kita dapat melihat habitat hidupan marin," katanya ketika ditemui di sini.
Pemandu pelancong, Zoher Mustan, 57, berkata, kali ini air laut surut pada paras 0.1 meter, berbanding tahun lalu 0.0 meter.
"Ia berlaku setahun sekali, mulai jam 7 pagi pengunjung boleh berjalan di beting pasir sejauh 600 meter ke Pulau Chabang dan Pulau Kelam Baya.
"Ini antara keunikan di pulau legenda ini dan dinantikan oleh penduduk tempatan serta pelancong yang mengetahui menerusi media sosial," katanya.
Turut meninjau fenomena air surut habis itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Mutalib.
"Ia (fenomena) boleh dipasarkan secara meluas kerana pengalaman orang ramai berjalan di beting pasir sejauh 600 meter hanya ada di sini (Tanjung Rhu)," katanya ketika ditemui, di sini.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|