KUALA LUMPUR: Lorong masuk paling kiri Arah Selatan di Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah, di Lebuhraya Utara-Selatan, akan ditutup sementara lima hari bermula Isnin hingga Jumaat ini.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan hari ini berkata, penutupan sementara lorong berkenaan bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan jalan di Plaza Tol Hutan Kampung berkenaan.
PLUS berkata, kerja penyelenggaraan itu sebagai usaha memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya berkenaan.
"Oleh itu, satu lorong paling kiri (lorong kenderaan berat) di laluan masuk Plaza Tol Hutan Kampung (Arah Selatan) akan ditutup sementara selama lima hari mulai 9 pagi 13 Mei hingga 12 tengah hari, 17 Mei ini.
"Ia bagi membolehkan kerja-kerja naik taraf jalan berkenaan dijalankan.
"Pengguna kenderaan berat yang mempunyai had kelebaran melebihi 3.5 meter yang menghala ke Alor Setar dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif menerusi Persimpangan Kepala Batas menuju ke Jalan Negeri (K5) - Jalan Hutan Kampung.
"Pengguna kenderaan berat yang menghala ke Sungai Petani/Pulau Pinang/selatan juga boleh menggunakan laluan alternatif menerusi Plaza Tol Alor Setar Utara sepanjangtempoh kerja berkenaan dijalankan," kata kenyataan berkenaan.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari semasa ke semasa ketika melalui kawasan terbabit.
PLUS turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan atau mendapatkan maklumat trafik dengan menggunakan Aplikasi PLUS atau menerusi Chatbot PUTRI.
Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.