(Depan, dari dua kiri) Ting, Yii, Lee bersama jawatankuasa penganjur dan wakil persatuan kaum bergambar bersama selepas sidang media di Dewan Bandaraya Miri, hari ini.
MIRI: Dua rekod baharu ingin dihasilkan untuk Buku Rekod Malaysia (MBOR) semasa Karnival Kebudayaan Cita Rasa Borneo di sini.
Pengerusi penganjur Harry Lee berkata, dua rekod itu ialah Salam Etnik Terbanyak di Jambatan Perpaduan dan Kraf Etnik Terbanyak Dipamerkan Dalam Satu Acara.
Menurut Lee, sebanyak 393 hasil kraf etnik yang menggambarkan sejarah dan budaya kumpulan-kumpulan etnik dikumpul untuk pengiktirafan MBOR.
"Kraf ini bukan sahaja menunjukkan kebijaksanaan seni setiap etnik tetapi juga berfungsi sebagai simbol penting identiti etnik, menyeru orang ramai untuk melindungi dan memelihara warisan budaya yang berharga ini," jelas beliau hari ini.
Sempena karnival kali ketiga itu, penganjur akan membina jambatan sepanjang 30 meter dikenali Titian Perpaduan di Taman Bulatan.
Lee berkata, jambatan itu menampilkan reka bentuk estetik yang cantik dan pencahayaan berwarna-warni pada waktu malam, menjadikannya tempat yang sangat baik untuk fotografi dan cara terbaik untuk mempromosikan pelancongan di sini.
Pengunjung akan diajar ayat ketika memberi salam yang digunakan 20 etnik kaum yang terlibat dalam karnival tersebut iaitu Cina, Orang Ulu, India, Sikh, Dayak, Melayu, Kedayan, Melanau, Bidayuh, Jatti Miriek, Punjabi, Kenyah, Kayan, Bisaya, Kelabit, Berawan, Penan, Lun Bawang, Lakiput dan Saban.
Etnik-etnik juga diwakili persatuan kaum masing-masing yang menjadi penganjur bersama dipengerusikan Persatuan Cina Sarawak dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).
"Jambatan ini kelak akan menjadi mercu tanda baharu untuk bandar raya Miri dan digunakan untuk mempromosikan Miri di peta dunia," jelasnya.
Penganjur juga akan membina sebuah perkampungan budaya dan perkampungan forum untuk mempromosikan budaya, kraf tangan tradisi, makanan dan minuman dari etnik-etnik yang mengambil bahagian.
Penganjur turut mengesahkan penyertaan dari Negara Brunei Darussalam dan Indonesia serta dari negeri Sabah dalam karnival ini.
Sebanyak 95 gerai makanan akan beroperasi sepanjang 12 hari karnival yang bermula 30 Oktober hingga 10 November di tempat letak kereta pusat beli-belah Boulevard.
Turut dianjurkan ialah pertandingan tarian kebudayaan dan rekaan pakaian alam sekitar untuk pelajar.
Hadir sama Datuk Bandar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii serta Presiden Persatuan Cina Sarawak Ting Pang Soon.
|