Nanta (tiga kiri) menyampaikan cek berkenaan kepada penerimanya di Kapit hari ini. - Gambar Facebook Alexander Nanta Linggi
KAPIT: Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa mengambil langkah proaktif dalam membantu menyediakan persekitaran pembelajaran positif kepada pelajar tanpa mengira latar belakang dan agama.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), sejumlah RM20 juta telah diperuntukkan kepada 120 sekolah mubaligh di seluruh Sarawak tahun ini.
"Hari ini, saya telah menyerahkan sumbangan ini berjumlah RM1.26 juta kepada lapan sekolah mubaligh di Kapit," katanya dalam satu hantaran di laman sosialnya hari ini.
Seperti diumumkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas katanya, dana diberikan bagi pembinaan bangunan baharu atau naik taraf bangunan sedia ada serta pembelian perabot baharu, peralatan teknologi maklumat dan peralatan sukan.
"Saya berharap sumbangan daripada UNIFOR ini dapat menggalakkan perkembangan pelajar-pelajar di sekolah-sekolah terbabit dan seterusnya menyumbang kepada perkembangan Sarawak Maju Makmur 2030," jelasnya.
Pada majlis sama, Ahli Parlimen Kapit itu turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM434,000 kepada 39 penerima terdiri daripada wakil-wakil NGO Kapit, persatuan penduduk, JKKK, PIBG, kelab serta persatuan.
Justeru, Nanta berharap agar sumbangan itu dapat memberi manfaat kepada semua penerima.
|