Edited by Vellfire at 3-9-2024 01:59 PM
Abdul Karim pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur II di Kuching, hari ini. - Gambar Roystein EmmorKUCHING: Sarawak menyambut baik pengoperasian semula penerbangan AirAsia dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang ke Kuching dan juga Sabah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pengoperasian semula penerbangan ini adalah sangat baik untuk industri pelancongan negeri.
“Sebagai menteri yang menjaga pelancongan, saya menyambut baik apa-apa yang dapat membawa pelawat masuk ke Sarawak.
“Saya juga tidak sabar menunggu syarikat penerbangan kita sendiri dilancarkan sebab apabila penerbangan bertambah sudah pasti ramai orang dapat masuk ke Sarawak.
“Apabila ramai orang masuk ke Sarawak, sudah pasti akan menyokong industri pelancongan terutama hospitaliti,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur II di sini hari ini.
Mengambil contoh penerbangan Kuching ke Jakarta yang kini setiap hari berbanding tiga kali seminggu sebelum ini, Abdul Karim berkata kapasiti muatan penumpangnya lebih daripada 80 peratus.
Melihat kepada sambutan memberangsangkan bagi penerbangan Kuching ke Jakarta ini, Abdul Karim berkata beliau tidak terkejut jika kekerapannya ditambah lebih daripada satu penerbangan satu hari nanti.
Dalam pada itu, syarikat penerbangan AirAsia telah memulakan operasi dari Lapangan Terbang Subang pada 30 Ogos lepas dengan penerbangan pertama ke Sarawak dan Sabah.
Dua penerbangan itu menandakan peristiwa penting dalam sejarah syarikat penerbangan itu dengan menghubungkan semula perkhidmatan selepas 24 tahun pelancaran operasi pertamanya dari lapangan terbang yang sama.
|