Anggota BBP Lutong memadam kebakaran gas dalam tanah di Riverview Park Senadin di Miri malam tadi.
MIRI: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila mendapati paip gas asli bawah tanah terbakar berhampiran rumah di Riverview Park Senadin, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong Henry Jugah berkata pihaknya menerima panggilan daripada wanita tersebut sekitar 10.52 malam yang bimbang api marak ke rumah berhampiran.
Katanya, sepasukan anggota yang dikerahkan ke lokasi kira-kira empat kilometer dari BBP Lutong, mendapati terdapat kebakaran dari kebocoran paip gas dalam tanah tersebut.
"Kebakaran hanya melibatkan kebocoran paip gas dalam tanah di luar rumah berdekatan sistem perparitan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kebakaran itu telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan BBP Lutong.
Pasukan Sarawak Gas turut berada di lokasi bagi memantau situasi gas dalam tanah berkenaan.
Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sekitar jam 11.56 malam.
|