Hanifah (tengah) merakam kenangan bersama yang lain semasa majlis di Kuala Lumpur hari ini.
KUCHING: Sebagai pelaksana polisi dan pendukung inisiatif kerajaan, pegawai kerajaan secara amnya perlu cakna terhadap perkembangan pembangunan negara bukan sahaja di peringkat persekutuan malah di peringkat negeri.
Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib berkata, ia susulan terdapat pertindihan dalam inisiatif yang dilaksanakan antara dua peringkat ini.
"Seharusnya tindakan yang perlu diambil adalah melengkapi dan menambah baik terutama di kawasan ketinggalan dari segi pembangunan.
"Sebagai contoh, pembangunan ekonomi hijau tidak selaras kerana liputan pelaksanaannya berbeza. Ini kemudiannya mengakibatkan ekosistem sokongan yang tidak lengkap," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Pengukuhan Urusan Parlimen Kementerian Ekonomi 2024 di Kuala Lumpur hari ini.
Hanifah menambah, rakyat masa kini mempunyai kehendak dan keperluan berbeza dan ini memerlukan pendekatan yang lebih dinamik.
"Seperti yang kita lihat di Mukah, kawasan ini sangat memerlukan hospital dengan kelengkapan dan perkhidmatan lebih baik manakala di Kota Marudu, Sabah, ia sangat memerlukan bekalan air bersih," ujarnya.
Dalam pada itu, peserta Bengkel Pengukuhan Urusan Parlimen Kementerian Ekonomi telah didedahkan dengan kaedah penyediaan jawapan atau teks penggulungan yang memenuhi kehendak menteri dan timbalan menteri.
Ini bagi memastikan maklumat dan data adalah tepat susulan persidangan Dewan rakyat disiarkan secara langsung di pelbagai saluran media.
|