NICHOLAS
KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) mengecam kenyataan dibuat pemimpin tertinggi PAS pada satu konvesyen yang diadakan parti itu di sini baru-baru ini.
Ketua Pergerakan Generasi Baharu LDP Pusat, Nicholas Ban berkata, kenyataan yang mahu Sabah sebagai 'alat' untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan Pusat disifatkan tidak ikhlas.
"Kenyataan ini membuktikan beliau tidak menjaga kepentingan rakyat di Malaysia Timur khususnya Sabah.
"Tetapi hanya untuk mencapai matlamat peribadi sahaja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Pusat Komunikasi Masyarakat (KOMAS), pemimpin tertinggi parti berkenaan cenderung untuk mengeluarkan kenyataan berbentuk perkauman, keagamaan dan hasutan.
Katanya, kenyataan seumpamanya sangat mengelirukan rakyat Malaysia dan kini mahu Sabah sebagai batu loncatan bagi membentuk kerajaan pusat. "Ini disifatkan sebagai kepentingan diri sendiri dan bukan secara keseluruhannya.
"Sabah tidak memerlukan ahli politik yang sering menimbulkan sentimen perkauman atau keagamaan.
"Pengundi Sabah bijak dan tahu apa keputusan yang wajar dilakukan pada pilihan raya negeri dan umum nanti," katanya.
Nicholas berkata, rakyat negeri ini perlu terus menolak pemimpin serta parti yang sering menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, rakyat Sabah perlu teruskan amalan nilai keharmonian, bertoleransi dalam kehidupan seharian.
"Kita tidak boleh membenarkan mereka memenangi kerusi dan meluaskan kuasa mereka di Sabah.
"Sabah tidak boleh mengamalkan perkara yang sudah terjadi di Semenanjung pada ketika ini. Oleh itu, memilih untuk parti politik tempatan Sabah adalah pilihan terbaik untuk pengundi Sabah," katanya.
|