LIMBANG: Fiesta Kebudayaan Tiong Hua Limbang yang diadakan hujung minggu ini merupakan satu lagi produk pelancongan yang mampu menarik kemasukan pengunjung ke daerah Limbang.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan yang juga pengerusi program Penghulu Ang Chew Kiam berkata, pelbagai acara menarik diadakan melibatkan kebudayaan masyarakat Tiong Hua yang terdiri daripada pelbagai suku etnik.
“Fiesta ini mampu menonjolkan kebudayaan masyarakat Tiong Hua untuk diketengahkan kepada penduduk setempat di samping memperkasakan perpaduan yang telah lama sedia wujud di wilayah kita yang tercinta ini,” katanya kepada media hari ini.
Fiesta Kebudayaan Tiong Hua Limbang merupakan salah satu program yang dimasukkan dalam Kalendar Tahunan Jawatankuasa Perayaan Utama Bagi Daerah Limbang sejak tahun 2022.
Program itu bukan sahaja diselaraskan oleh Jawatankuasa Perayaan Utama Daerah Limbang, malah turut disokong Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia melalui Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Limbang.
Pelbagai acara menarik akan diadakan termasuk perarakan tanglung, persembahan naga, tarian singa, persembahan kebudayaan, pertandingan basikal, pertandingan masakan, pertandingan buah-buahan dan pelbagai acara menarik lain.
|