Mayat mangsa dijumpai oleh orang awam dalam keadaan terbaring di luar kenderaannya yang diletakkan di sebuah kawasan berdekatan Kampung Beraya Batu 1 di Miri petang semalam.
"Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Tanjong Lobang bergegas ke lokasi untuk mengesahkan maklumat itu.”
ACP Alexson Naga Chabu
Ketua Polis Daerah Miri
Oleh Rosemaria Buma
MIRI: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang setelah keluar rumah awal minggu lalu ditemui mati oleh orang awam di kawasan berhampiran Kampung Beraya Batu 1 dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengesahkan penemuan mayat lelaki terbabit yang dikenali sebagai Lim Yu Kian@Lim Kim San, 70.
Terdahulu katanya, jam 5.05 petang kelmarin (Ahad), pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki terbaring di luar sebuah kenderaan di kawasan berdekatan Kampung Beraya Batu 1 di sini.
"Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Tanjong Lobang bergegas ke lokasi untuk mengesahkan maklumat itu.
"Setiba di tempat kejadian mendapati seorang lelaki terbaring di luar sebuah kenderaan dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Bekenu," katanya.
Menurut Alexson, seterusnya mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Miri untuk tindakan lanjut dan mangsa disahkan sebagai orang hilang dilaporkan pada 25 September lalu.
Polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut dan satu kertas siasatan dibuka bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
Dalam kejadian itu, satu laporan polis dibuat oleh ahli keluarganya pada 25 September lalu berhubung kehilangan warga emas terbabit apabila dia gagal pulang ke rumahnya di Taman Shang di sini.
Menurut laporan itu, mangsa dilihat kali terakhir ketika keluar rumah pada petang 23 September lalu dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Rush.
|