CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 22879|Reply: 0

[Sarawak] Impian penduduk Kapit nikmati bekalan elektrik kini jadi kenyataan

[Copy link]
Post time 2-10-2024 12:14 AM | Show all posts |Read mode


Rubiah (empat kanan) menyerahkan simbolik Projek SARES Fasa 2 kepada Lau (tiga kiri) sambil disaksikan Julaihi (empat kiri).

KUCHING: Selepas menanti lebih 30 tahun, impian puluhan keluarga di kawasan luar bandar Kapit untuk menikmati bekalan elektrik akhirnya menjadi kenyataan dengan penyiapan projek Skim Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES) Fasa 2.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, projek SARES yang melibatkan sebanyak 140 kampung di pelbagai daerah termasuk kawasan luar bandar Kapit ini memberi manfaat kepada 2,755 rumah.

Menurut beliau, projek yang bermula pada 22 Oktober 2020 dan siap sepenuhnya pada 21 Jun 2023 itu merupakan kesinambungan kejayaan SARES Fasa 1.

Jelasnya, projek tersebut telah dilaksanakan di bawah Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bahagian Prasarana, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan dikendalikan Bahagian Teknikal KKDW dengan kerjasama kontraktor utama, Sarawak Energy Berhad (SEB).

“Menerusi projek ini, sistem jana kuasa solar dibina bagi menjana bekalan elektrik untuk kegunaan asas, tertakluk kepada had maksimum sebanyak 2kWh sehari bagi setiap rumah.

“Sehubungan itu, projek ini bukan sahaja mengakhiri penantian panjang penduduk Kapit untuk menikmati bekalan elektrik tetapi juga membuka lembaran baharu dalam usaha memajukan kawasan luar bandar Sarawak secara menyeluruh,” ujar beliau ketika berucap dalam majlis penyerahan Projek SARES Fasa 2 di sebuah hotel di sini, semalam.

Rubiah memberitahu dengan adanya kemudahan bekalan elektrik ini, keselesaan dan taraf hidup penduduk luar bandar akan dipertingkatkan, sekali gus menjadikan kehidupan seharian mereka lebih baik.

“Saya percaya, pelaksanaan projek ini dapat merapatkan lagi jurang antara penduduk bandar dan luar bandar agar mereka dapat turut sama menikmati kemudahan utiliti asas ini.

“Harapan saya agar pelaksanaan projek seperti ini dapat mewujudkan banyak lagi peluang ekonomi yang lebih ampuh dan dapat membangunkan masyarakat yang lestari,” katanya.

Rubiah dalam pada itu merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Telekomunikasi dan Utiliti Sarawak yang akan mengambil alih tanggungjawab pengurusan, penyeliaan, dan penyelenggaraan projek ini.

Beliau juga menzahirkan ucapan tahniah kepada Bahagian Prasarana, Bahagian Teknikal KKDW serta SEB atas kejayaan menyiapkan projek yang membawa manfaat besar kepada penduduk di kawasan luar bandar.

Untuk makluman, antara skop kerja yang terlibat dalam projek SARES Fasa 2 adalah pembinaan stesen solar hibrid termasuk talian penghantaran ke rumah-rumah penduduk kampung dan pendawaian dalaman rumah termasuk lima point lampu dan empat soket.

Secara keseluruhannya, projek ini telah beroperasi di semua tapak dan perlu diserahkan secara rasminya kepada SEB selaku Pihak Berkuasa Negeri (PBEN) bagi tujuan operasi dan selenggaraan (O&M) secara berterusan.

Melalui pelaksanaan projek ini, keselesaan dan taraf sosioekonomi penduduk tempatan dapat dipertingkatkan dengan adanya kemudahan bekalan elektrik ini bagi kegunaan asas penduduk.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad Lau Kim Swee dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Teknikal KKDW Muhammad Harridzan Abdullah.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 08:26 PM GMT+8 , Processed in 0.053413 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list