TUTUP: Dr Shameer (tengah) menampal notis penutupan terhadap salah sebuah kilang yang didapati kotor.
TAWAU: Empat kilang memproses makanan di daerah ini diarah tutup sementara serta-merta selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.
Semua kilang yang dikesan dalam keadaan kotor termasuklah ditemukan makhluk perosak dan najis tikus itu didapati telah melanggar Sekyen 11, Akta Makanan 1983 dan Seksyen 32B Akta Makanan 1983.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, operasi Program Jaminan Keselamatan (PJKM) yang dilakukan ini telah memeriksa sebanyak 16 premis setakat ini.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 15 kompaun telah dikeluarkan selama tiga hari operasi dijalankan di sekitar daerah Tawau.
“Kita telah mengambil tindakan menutup serta-merta empat buah kilang memproses makanan di sini kerana tahap kebersihannya sangat rendah dan ditemukan najis tikus di dalam premis berkenaan.
“Selain itu, kilang berkenaan juga tidak memiliki Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) walaupun sudah lama beroperasi,” katanya ketika ditemui media dalam operasi PJKM, di sini hari ini.
PERIKSA: Dr Shameer ketika memeriksa tahap kebersihan di salah sebuah kilang memproses mi kuning.
Menurutnya, operasi itu juga telah membuat sitaan hampir tiga tan barang makanan yang telah diproses tidak memenuhi tahap kebersihan.
Katanya, semua kilang berkenaan akan ditutup selama 14 hari dan akan dipantau supaya tidak melanggar arahan penutupan.
“Kita akan membuat pemantauan supaya mereka tidak melanggar arahan dan pemilik kilang terbabit boleh memohon kepada Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau untuk diberikan kebenaran beroperasi.
“Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau akan mewajibkan supaya pemilik kilang terbabit mengambil sijil MeSTI supaya mereka dapat dibimbing untuk mengikuti prosedur kebersihan yang ditetapkan,” katanya.
KOTOR: Kilang memproses roti yang didapati kotor dan ditemukan najis tikus.
Sementara itu, Dr Shameer berkata, tujuan operasi itu dilakukan adalah untuk memastikan tahap kebersihan dan jaminan keselamatan makanan bagi semua penduduk di daerah ini sentiasa terjamin.
“Selain itu, ia juga bagi memastikan semua pembekal dan pengilang yang beroperasi di daerah ini mengikuti arahan dibawah akta makanan.
“Saya menasihatkan semua pembekal dan pengilang di daerah ini mengikuti prosedur yang ditetapkan bagi memastikan makanan yang diproses selamat dimakan oleh orang awam,” katanya.
|