Edited by Vellfire at 6-1-2025 02:42 AM

Ding ketika mengadakan sesi dialog bersama pihak JBALB Bahagian Sarikei dan JPS Bahagian Sarikei pada Jumaat.
BINTANGOR: Projek memantapkan sumber bekalan air bersih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong akan terus dilaksanakan tahun ini, kata ADUN Meradong Datuk Ding Kuong Hiing.
Menurutnya, ia merangkumi beberapa projek di bawah kendalian Jabatan Bekalan Air Bersih Luar Bandar (JBALB) dan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).
"Hasil dialog bersama JBALB Bahagian Sarikei, kita dimaklumkan mengenai status Projek Stesen Penggalak Lemayong dan Perawatan Bayong Fasa 2 yang sedang berjalan lancar.
"Pada masa sama, saluran paip utama dari Jalan Kelupu menuju ke Stesen Penggalak Tulai bernilai RM10 juta akan disambungkan pada Ogos tahun ini dan projek tersebut akan memakan masa 15 bulan untuk dilaksanakan.
"Selain itu, cadangan untuk menaik taraf sistem retikulasi paip bandar Bintangor di bawah projek RADDA bernilai RM25 juta juga akan bermula pada Ogos tahun ini dan ia dijadualkan siap dalam tempoh 15 bulan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media sejurus selesai menghadiri Sesi Dialog Bersama JBALB dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Sarikei di sini, pada Jumaat.
Menurut Ding, projek lain yang akan dilaksanakan pada tahun ini ialah menaik taraf saluran paip air di jalan utama Kung Cheng, Sungai Mador.
Katanya, projek saluran paip sepanjang 12 kilometer itu menelan belanja sebanyak RM3 juta dan dijadualkan siap dalam tempoh lapan bulan.
"Selain itu, antara perkara lain yang turut diberikan tumpuan dalam dialog ini ialah masalah perparitan di Rumah Jerome, Sungai Baron yang menyebabkan halaman rumah panjang itu dilanda banjir kilat dan tanah runtuh baru-baru ini.
"Turut dibincangkan ialah masalah perparitan di Rumah Ngipa, Sungai Buloh.
"Kita berharap melalui sesi dialog bersama agensi pelaksana ini, ia dapat mengatasi masalah yang membelenggu penduduk di kawasan ini nanti," jelas Ding lagi.
Hadir sama ialah DE JBALB Bahagian Sarikei Chieng Ngih Wei, Penolong Jurutera JPS Bahagian Sarikei Aneves Lang, Pemanca Yii Hee Sieng dan Tuai Rumah Jerome Liban.
|