

Pasukan Keluaran Operasi dari BBP Bau tiba di lokasi untuk memadamkan kereta mangsa yang terbakar selepas melanggar tembok parit dalam kemalangan di Bau, hari ini. - Gambar JBPM Sarawak
KUCHING: Seorang lelaki bersama seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas kereta dipandunya melanggar tembok parit lalu terbakar dalam kemalangan di Bau, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi kenyataan berkata dalam kemalangan yang berlaku di P-Turn, Kampung Singai, Jalan Bau-Kuching, Lebuh Raya Pan Borneo itu, kenderaan jenis Proton Wira yang dipandu lelaki berkenaan terbakar 90 peratus akibat kemalangan melanggar tembok parit.
JPBM Sarawak katanya, menerima panggilan memaklumkan kejadian itu pada jam 11.29 pagi, lantas mengarahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau ke lokasi.
"Maklumat awal daripada orang awam, terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki yang cedera di dalam kenderaan tersebut telah berjaya diselamatkan oleh orang awam.
"Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Bau,menggunakan kenderaan awam," kata kenyataan itu.
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula sumber dari tangki jentera sehingga api dipadamkan sepenuhnya.
|