
Gambar hiasan
KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) optimis dapat mencapai sasaran lima juta kedatangan pengunjung ke Sarawak dengan nilai resit pelancongan melebihi RM10 bilion pada tahun ini.
Menterinya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sasaran tersebut mampu dicapai, lebih-lebih lagi wilayah ini bakal memiliki syarikat penerbangannya sendiri mulai tahun ini.
“Tahun ini akan diadakan banyak acara seperti pada tahun lepas. Kita mempunyai dana yang cukup baik daripada kerajaan negeri untuk kita mengadakan acara.
“Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi di bawah kementerian kerana mereka telah bekerja dengan sangat keras sama ada pihak STB, Jabatan Muzium atau BES yang membawa banyak acara perniagaan ke sini.
“Sarawak juga telah melaksanakan kegiatan promosi dan pemasaran secara meluas dalam wilayah serta luar negara.
“Jadi dengan itu, saya percaya untuk tahun 2025 kita seharusnya dapat mencapai ketetapan sasaran berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada Konsert Jelajah Ulang Tahun Ke-50 Boney M anjuran The Front Row Entertainment Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam Sabtu.
Abdul Karim juga yakin sasaran tersebut dapat dicapai tahun ini ekoran prestasi sektor pelancongan Sarawak yang sangat memberangsangkan pada tahun lepas (2024).
“Angka sebenar akan diketahui pada pertengahan Januari ini dan saya boleh katakan bahawa ia hampir mencecah lima juta pelancong (mengambil kira bulan Disember) sehingga pertengahan Januari tahun ini,” tambahnya.
Kiraan ketibaan pelancong dari dalam dan luar negara dibuat mengikut ketetapan perimeter yang telah diguna pakai secara sah di peringkat MTCP, ujarnya.
Beliau turut menonton persembahan kumpulan disko legenda terkenal, Boney M bersama hampir 4,000 pengunjung yang turut sama hadir dan menari dengan dendangan lagu-lagu yang dimainkan kumpulan itu.
|