Projek LRT nafas baharu pengangkutan awam Pulau Pinang
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Januari 10, 2025 @ 6:06pm [email protected]

Persiapan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan LRT Laluan Mutiara sedang giat dijalankan ketika tinjauan di Tapak Projek Bandar Sri Pinang hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGERTOWN: Permulaan projek pembinaan transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang dilihat sebagai langkah terbaik menyediakan jaringan perhubungan darat menyeluruh sekali gus mengalakkan pengguna memanfaatkan pengangkutan awam secara optimum.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata usaha kerajaan negeri 'melencongkan' tabiat pengguna jalan raya daripada menggunakan kenderaan peribadi kepada pengangkutan awam moden sukar direalisasikan selagi 'jajaran sulung' LRT tidak dibina di negeri itu.
"Kalau lihat sistem pengangkutan awam moden di Kuala Lumpur, selepas jajaran LRT pertama dilancarkan, sampai sekarang sudah lebih 30 tahun, banyak jajaran sistem pengangkutan awam darat berasaskan rel yang saling (mempunyai) keterhubungan.
"Justeru, bagi Pulau Pinang, projek LRT Laluan Mutiara menjadi satu permulaan yang mana selagi tidak ada jajaran pertama, negeri ini tidak akan ada jajaran kedua, ketiga dan keempat.
"Apabila ada jajaran-jajaran ini kelak, sistem pengangkutan awam akan menjadi suatu pilihan mod pengangkutan bagi orang ramai yang mana sekali gus menangani isu kesesakan lalu lintas," kongsinya menerusi akaun Facebook beliau.
Kon Yeow menyifatkan, pelaksanaan projek LRT Laluan Mutiara termasuk pembinaan stesen di Sungai Pinang sebagai langkah penting untuk mentransformasikan sistem pengangkutan awam di negeri itu.
"Jika tidak ada sistem pengangkutan awam yang lebih efisien dan baik, sangat payah untuk mengubah tabiat rakyat daripada menggunakan pengangkutan peribadi kepada sistem pengangkutan awam moden," katanya.
Pulau Pinang melakar sejarah tersendiri apabila majlis pecah tanah projek pembinaan LRT Laluan Mutiara akan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di tapak projek di Bandar Sri Pinang, esok.
Sebelum ini, media melaporkan, fasa pertama membabitkan n laluan sepanjang 24 kilometer (km) dari Pulau Silikon ke Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) dianggarkan bernilai RM8 bilion.
Jajaran LRT Laluan Mutiara disasarkan beroperasi pada 2030 bermula dari Pulau Silikon hingga ke KOMTAR, seterusnya menyeberang ke Penang Sentral, di Seberang Perai.
Segmen pertama LRT Laluan Mutiara dikatakan bakal dilengkapi dengan 21 stesen sepanjang 29 kilometer yang mana 20 stesen di bahagian pulau dan satu stesen di Penang Sentral.
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2025/01/1347532/projek-lrt-nafas-baharu-pengangkutan-awam-pulau-pinang
|