Kepala Batas: Mulianya hati Mohamad Syafiq Ismail kerana amanah menyimpan beg berisi dompet dan wang tunai milik seorang lelaki sehingga ia dikembalikan semula kepada pemiliknya.
Kisah itu dikongsikan Mohamad Syafiq, 23, menerusi video dimuat naik di TikTok yang sehingga kini meraih lebih 650,000 tontonan.
Menceritakan kisah sebenar di sebalik perkongsiannya, Mohamad Syafiq berkata, dia terjumpa beg berkenaan pada 8 Januari lalu ketika mengemas untuk membuka gerai laksa sotong miliknya yang terletak di Kampung Permatang Sungai Dua, dekat sini.
Bagi mengetahui siapa pemiliknya, Mohamad Syafiq membuka beg berkenaan dan mendapati ada dompet berisi kad pengenalan, kad kesihatan, wang tunai RM130 dan telefon bimbit yang sudah retak skrinnya.
Selesai berniaga, Mohamad Syafiq dengan ditemani isteri, Nor Puteri Fatihah Mohd Farid, 21, dan anak lelaki mereka yang berusia dua tahun berhasrat menghantar beg itu berpandukan alamat tertera pada kad pengenalan.
"Malam itu kira-kira jam 9 kami bergerak ke Kampung Pelet, Kubang Semang, Bukit Mertajam yang jaraknya antara 10 hingga 11 kilometer (km) dari rumah saya.
"Kami sampai hampir jam 10 malam tapi tak jumpa pemiliknya kerana difahamkan dia tidak tinggal di situ lagi dan mungkin tidak kemas kini perubahan alamat di kad pengenalan.
"Jadi kami pulang ke rumah, dan saya cuba keluarkan kad sim telefon bimbit pemilik berkenaan ke dalam telefon bimbit saya," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

MOHAMAD Syafiq Ismail dipuji warganet kerana mengembalikan semula beg ditemuinya kepada pemilik asal. FOTO Ihsan Mohamad Syafiq Ismail.
Menurut Mohamad Syafiq, sehari juga dia menunggu sebelum anak pemilik berkenaan menghubunginya.
Mohamad Syafiq berkongsi alamatnya menerusi kiriman WhatsApp sebelum pemilik itu datang bersama anaknya dua hari kemudian.
"Waktu berjumpa, saya nampak reaksi 'uncle' (pemilik beg) itu memang lega kerana katanya puas mencari beg itu sehingga membuat laporan polis.
"Difahamkan, beg itu tercicir selepas dia letakkan di atas kereta ketika singgah di tepi jalan dan terlupa mengambilnya selepas beredar.
"Saya pula gembira kerana dapat kembalikan beg milik uncle itu da melihatnya tersenyum. Uncle itu ada beri upah juga kepada saya walaupun saya puas menolaknya," katanya.
Mohamad Syafiq berkata, niatnya berkongsi video berkenaan di TikTok sekadar untuk membawa mesej positif kepada yang menonton.
"Saya cuma nak kongsi benda yang baik. Alhamdulillah, 99 peratus komen positif tapi ada juga segelintir negatif dan mempersoalkan kenapa saya buka beg orang lain serta rakam video.
"Saya bukan nak tunjuk baik tapi sekadar nak berkongsi apa yang positif di media sosial dengan harapan ia menjadi ikutan.
"Bagi saya, tak salah berkongsi benda yang elok daripada muat naik video tak berfaedah," katanya yang turut mencari rezeki dengan menawarkan khidmat sebagai deejay, pengacara majlis dan perkhidmatan sewaan sistem audio.