Edited by sfhzuraz at 15-1-2025 12:51 PM
2,280 asnaf terima bantuan pakaian sekolah
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
15 Januari 2025 10:03am

Salah seorang murid hadir menerima bantuan Skim Agihan Pakaian Seragam Daerah Kulim Bandar Baharu disampaikan Md Sharif (kiri).
KULIM - Seramai 2,280 murid sekolah di Kulim dan Bandar Baharu menerima manfaat Skim Agihan Pakaian Seragam dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM169,290.
Pegawai Zakat Daerah Kulim Bandar Baharu, Md Sharif Md Isa berkata, agihan dikendalikan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) itu bermula 12 Januari lalu sebagai persediaan memasuki sesi persekolahan baharu tidak lama lagi.
Menurutnya, bagi memastikan pengagihan berjalan lancar, baucar diagihkan pihak sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu.
"Waris penerima boleh menebus pakaian seragam sekolah di Pusat Jahitan Daerah Kulim.
"Langkah ini bertujuan mengatasi isu berkaitan saiz pakaian yang tidak sesuai, yang pernah menjadi cabaran pada tahun-tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berharap, bantuan ini dapat meringankan beban keluarga, terutamanya golongan asnaf dalam mempersiapkan anak-anak bagi memulakan sesi persekolahan dengan penuh semangat dan harapan baharu.
"Skim ini bukan sahaja bertujuan untuk menyediakan kelengkapan sekolah, tetapi juga sebagai satu bentuk sokongan dan perhatian kepada mereka yang memerlukan.
"Semoga mereka terus cemerlang dalam pelajaran dan menjadi insan berjaya pada masa hadapan," katanya.
Selain itu, katanya, inisiatif ini mencerminkan komitmen pihak LZNK, PPD dan sekolah dalam membantu golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah.
"Usaha ini bagi memastikan setiap pelajar mendapat kelengkapan yang selesa dan sesuai untuk memulakan sesi persekolahan.
"Diharapkan, penambahbaikan yang dilakukan dapat memberi manfaat lebih besar kepada murid dan keluarga mereka," katanya.
https://www.sinarharian.com.my/article/707244/edisi/utara/2280-asnaf-terima-bantuan-pakaian-sekolah
|