CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6155|Reply: 0

[Sarawak] Kerjasama ibu bapa, guru kunci kejayaan pelajar

[Copy link]
Post time 16-1-2025 02:08 PM | Show all posts |Read mode


Anyi (tengah) merakamkan kenangan bersama tetamu jemputan, ibubapa dan pelajar pada Majlis Graduasi dan Apresiasi SMK Nanga Dap di Kanowit.
KANOWIT: Kejayaan dalam pendidikan bukanlah hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya ia merupakan hasil kolaborasi antara ibu bapa, guru, dan pelajar, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana.

Menurutnya, pembelajaran yang cemerlang tidak hanya bergantung pada usaha pelajar, tetapi juga pada sokongan dan galakan berterusan daripada ibu bapa serta guru-guru, di samping peranan penting pihak sekolah dalam merancang dan melaksanakan program yang efektif.

"Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memantau perkembangan anak-anak, memastikan mereka terus bersemangat dan cemerlang dalam bidang akademik mahupun kokurikulum," ujarnya semasa merasmikan Majlis Graduasi dan Apresiasi SMK Nanga Dap, baru-baru ini.

Anyi turut mengingatkan para guru tentang tanggungjawab besar mereka dalam mendidik dan membimbing pelajar, terutama apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran.

"Tugas seorang pendidik bukan sahaja mengajar, tetapi juga mendidik dan membentuk karakter pelajar.



Anyi berjabat tangan dengan para pelajar yang menyambutnya sebaik tiba pada Majlis Graduasi dan Apresiasi SMK Nanga Dap di Kanowit.

"Ada kalanya, guru-guru terpaksa bekerja di kawasan pedalaman demi memastikan anak bangsa menerima pendidikan yang sewajarnya," tambah beliau.

Beliau menegaskan, bagi pelajar, mereka perlu sentiasa bersedia menempuh pelbagai cabaran pendidikan dengan tekad dan semangat untuk berjaya.

"Pelajar, terutamanya yang menduduki peperiksaan SPM, haruslah berusaha bersungguh-sungguh kerana keputusan ini akan menentukan hala tuju masa depan mereka," kata Anyi.

Dalam majlis tersebut, Anyi juga berkongsi pengalaman berharga beliau selama 33 tahun dalam dunia pendidikan.

Pengalaman manis dan pahit beliau sebagai seorang pendidik merangkumi pelbagai jawatan, termasuk Guru Biasa, Penolong Kanan, Guru Besar, serta Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pembelajaran.


Anyi (dua kiri) disaksikan oleh Joseph (kiri) dan Dagang (kanan) semasa menyerahkan skrol kepada salah seorang pelajar pada Majlis Graduasi dan Apresiasi SMK Nanga Dap di Kanowit.

Salah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah ketika beliau diamanahkan untuk menjadi Guru Besar di SK Long Apu, Baram, sebuah sekolah di pedalaman yang memerlukan perjalanan selama 10 jam dari Kanowit melalui jalan balak dan Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan ketika itu.

Dalam kesempatan itu, beliau turut mengumumkan bahawa insentif atau bantuan sekali bayar yang diberikan kepada pelajar lepasan SPM yang mencapai keputusan 3A ke atas serta pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akan diteruskan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Beliau berharap agar SMK Nanga Dap terus maju dan cemerlang, dengan mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

"Saya yakin dengan kerjasama erat antara ibu bapa, guru, dan pelajar, sekolah ini akan terus berjaya dan melahirkan individu yang berkualiti," tambahnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kanowit (Sektor Perancangan Sekolah) Joseph Jabu dan Pengetua SMK Nanga Dap Dagang Bungsu.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-2-2025 06:29 AM GMT+8 , Processed in 0.109084 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list