
Pasukan bomba berusaha memadam kebakaran rumah tersebut.
SIBU: Seorang lelaki ditemui mati dalam parit berdekatan sebuah rumah yang musnah terbakar di Jalan Kuok Tiong, Sungai Bidut, dekat sini, malam Rabu.
Insiden tragik itu melibatkan mangsa, Ngu Hieng Sie, 58, yang dipercayai terkena renjatan elektrik.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.50 malam lalu Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah segera digerakkan ke tempat kejadian.
"Sebaik tiba di tempat kejadian pada jam 8.07 malam, pasukan bomba mendapati sebuah rumah tidak kekal dengan keluasan lebih kurang 30 kaki kali 30 kaki telah terbakar 100 peratus.
"Pasukan menemui mangsa dalam keadaan terlentang di dalam parit yang dipenuhi air berhampiran rumah tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di dalam parit berhampiran tempat kejadian di Sungai Bidut, malam Rabu.
Beliau memberitahu, pemeriksaan awal mendapati masih terdapat aliran elektrik di kawasan berair itu yang dipercayai menjadi punca mangsa terkena renjatan elektrik.
"Pasukan bomba segera menghubungi pihak kontraktor Sarawak Energy untuk memutuskan bekalan elektrik di kawasan terbabit sebagai langkah keselamatan," katanya.
Dalam kejadian tersebut, seorang penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi penghuni tidak berada di rumah kerana keluar ke bandar. Rumah yang diperbuat daripada bahan binaan tidak kekal itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut.
Pasukan bomba mengambil tindakan menggunakan teknik pemadaman defensif dengan satu aliran sepanjang 300 kaki menggunakan dua nozel pam, menggunakan sumber air terbuka dari parit berhampiran.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 9.28 malam.
Andy berkata, pihaknya telah memasang sawar-sawar bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh pihak berkuasa.
"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," tambah beliau.
Kes kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca sebenar kebakaran tersebut.
|