Kerajaan negeri pertimbang bina rumah baharu mangsa kebakaran di Baling
Oleh Noorazura Abdul Rahman - Januari 16, 2025 @ 4:03pm [email protected]

Muhammad Sanusi menyerahkan hadiah kepada Johan Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah iaitu Kampung Teroi Bukit, Yan di Dewan Tuanku Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS), Baling, hari ini. - Foto Noorazura Abdul Rahman
BALING: Kerajaan negeri sedia mempertimbang bantuan termasuk pembinaan rumah baharu kepada mangsa kebakaran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang, di sini, yang dipercayai akibat khianat.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata kebakaran yang berlaku bermula 24 Disember lalu hingga 12 Januari lalu, dilaporkan membabitkan sembilan rumah penduduk dengan kerugian mencecah RM791,000.
Katanya, kebanyakan kebakaran bermula pada motosikal yang diletak di hadapan rumah sebelum api merebak sehingga menyebabkan kereta dan rumah turut terbakar.
"Kejadian ini dipercayai berpunca akibat perbuatan khianat dan berlaku antara jam 9 malam hingga 4 pagi, ada rumah yang musnah semuanya. Pejabat Daerah Baling telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk mendapatkan sumbangan kepada mangsa kebakaran ini.
"Tidak lama lagi Ramadan akan tiba dan selepas itu Syawal, jadi mereka perlukan tempat kediaman. Saya akan pertimbang bersama EXCO perkara ini dalam mesyuarat akan datang untuk kita bantu khususnya rumah yang musnah terbakar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Pertandingan Kampung Sejahtera Negeri Kedah di Dewan Tuanku Haminah, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, mangsa kebakaran kini kehilangan tempat tinggal, malah ada yang tinggal sehelai sepinggang dan terpaksa menumpang di rumah saudara mara.
"Saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa kebakaran dan berharap mereka bersabar dalam menghadapi dugaan ini.
"Insya-Allah kerajaan akan ikhtiar untuk meringankan beban semua mangsa yang terbabit," katanya.
Beliau berkata, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang sudah mengaktifkan pos kawalan di kawasan kampung untuk membantu pihak berkuasa mengekang perbuatan khianat itu.
"Kita akan cuba dapatkan perkembangan terkini kes ini daripada pihak polis dan harap polis dapat tangkap suspek secepat mungkin," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, polis mengesahkan kebakaran yang membabitkan 10 rumah di daerah ini pada 24 Disember lalu disyaki mempunyai unsur khianat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, pada awalnya siasatan mendapati ia hanya kebakaran biasa namunhasil siasatan bersama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah mendapati, ia mempunyai unsur khianat.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/01/1350162/kerajaan-negeri-pertimbang-bina-rumah-baharu-mangsa-kebakaran-di
|