
TAHUN BAHARU: Christina dan Joniston merakamkan kenangan bersama wakil media dan jemputan lain yang hadir pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Media Sempena Tahun Baharu Cina 2025.
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) meletakkan sasaran sebanyak 3.5 juta kedatangan pelancong ke Sabah tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Christina Liew berkata, kerajaan juga yakin mampu mencapai sasaran itu.
Ini kerana katanya, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia turut menyasarkan untuk menerbangkan lima juta penumpang ke Sabah pada 2025.
Sehubungan itu, pihaknya menyambut baik sasaran pihak AirAsia kerana ia bukan sahaja untuk membawa pelancong, tetapi juga mempromosikan kemajuan ekonomi untuk Sabah.
"Semua sektor seperti hotel, logistik, restoran, dan lain-lain sektor akan mendapat manfaat, terutamanya rakyat Sabah.
"Sasaran 3.5 juta kedatangan pelancong adalah sangat baik memandangkan jumlah penduduk Sabah juga sekitar 3.5 juta orang.
"Justeru, dengan sasaran 3.5 juta pelancong yang datang, setiap satu penduduk adalah bersamaan satu pelancong," katanya kepada media ketika ditemui Pada Majlis Makan Tengah Hari Bersama Media Sempena Tahun Baharu Cina 2025 di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan akan berbincang secara terperinci dengan wakil pengusaha hotel selepas pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menguatkuasakan semula kadar fi lesen di bawah Undang-Undang Kecil (UKK) (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu 1966 bermula 1 Januari 2025.
"Kami mengadakan mesyuarat semalam dengan wakil-wakil hotel dan mereka menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kadar baharu yang dicadangkan oleh DBKK.
"Perkara terbaik adalah untuk menyelesaikan isu ini terlebih dahulu melalui perbincangan dengan DBKK selepas mendapat maklum balas daripada wakil-wakil hotel.
"Jika pihak hotel tidak berpuas hati dengan kadar baharu itu, kita akan bertanya apa cadangan mereka dan menyampaikannya kepada pihak DBKK," jelasnya.
Menurutnya, rundingan mengenai isu itu akan dibuat secara berperingkat bukannya sekali gus sehingga ia dapat diselesaikan.
Beliau berkata, tidak dinafikan apabila perniagaan hotel berkembang, mereka juga perlu bertanggungjawab terhadap semua faktor terutama berkaitan alam sekitar dan kebersihan.
Pihaknya turut melihat DBKK mempunyai asas untuk mengenakan kadar fi lesen berkenaan.
Namun katanya, jika pihak hotel tidak berpuas hati dengan perkara itu, rundingan akan dibuat dengan mengkaji semula kadar yang ditetapkan setiap beberapa tahun sekali.
Pada majlis itu, Christina berkesempatan beramah mesra dengan pengamal media di negeri ini khususnya yang bertugas di Kota Kinabalu.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai dan Setiausaha Tetap KePKAS Datuk Josie Lai.
|