
Anggota APM dan ATM sedang memuatkan pek makanan ke dalam lori sebelum diedarkan kepada penerima yang terjejas akibat banjir hari ini.
SIBU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu, dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), telah mengedarkan sebanyak 1,358 pek makanan kepada 387 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di beberapa kawasan sekitar Sibu hari ini.
Menurut Pegawai Bencana Operasi Latihan dan Sekretariat APM Sibu Kapten (PA) Azamsah Apearal, bantuan makanan itu telah disalurkan ke kawasan Jalan Salim-Stabau, Kampung Pulau Dudong, Sungai Naman, Sungai Menyan, Sungai Pak dan Ulu Durin bagi memastikan penduduk yang terjejas akibat banjir mendapat bekalan yang mencukupi.
“Operasi ini melibatkan 10 anggota APM, 10 anggota ATM dan dua anggota PDRM.
“Kami bekerjasama memastikan bantuan ini disampaikan dengan cepat dan teratur kepada mereka yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
APM dan ATM turut menyerahkan bantuan kepada penduduk di kawasan Machan, Kanowit hari ini.
APM Sibu dan Kanowit telah menugaskan 80 anggota sepanjang hari pertama banjir hari ini.
Sementara itu, di Kanowit pengagihan pek makanan turut dijalankan di kawasan Machan termasuk di Rumah Bagol menggunakan tiga lori APM dan satu kenderaan pacuan empat roda milik ATM.
“Seramai 15 anggota APM, tujuh anggota ATM, serta kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlibat dalam operasi di Kanowit bagi memastikan semua bantuan dapat diagihkan dengan lancar,” jelas beliau.
Selain operasi pengagihan makanan, APM Sibu dan Kanowit telah menugaskan 80 anggota sepanjang hari pertama banjir bagi menjalankan pelbagai operasi bantuan dan menyelamat.
“Kami juga memastikan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak terjejas.
“Penghantaran mereka ke pusat peperiksaan dilakukan dengan selamat dengan kerjasama pengawas peperiksaan,” tambahnya.
Tegas beliau, usaha ini mencerminkan komitmen APM dan agensi lain dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keperluan asas penduduk di kawasan terjejas akibat banjir terus diberi perhatian.
|