![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20250116/sbw-ub160125-mu-dadah-p1.jpg)
Dadah yang dirampas daripada suspek kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
SIBU: Seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun ditahan pasukan polis dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu pada Rabu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.
Penangkapan dilakukan kira-kira jam 10 pagi di hadapan sebuah rumah di Lorong Salim, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, hasil pemeriksaan polis menemui 25 kerajang timah berwarna merah/perak, setiap satu mengandungi 10 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 dengan anggaran berat kasar 80.3 gram bernilai RM5,000.
"Selain itu, lapan peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat kasar 12.7 gram bernilai RM1,397 turut dirampas.
"Turut dirampas dalam operasi tersebut adalah sebuah kereta jenis Toyota Vios milik suspek yang dianggarkan bernilai RM80,000," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zulkipli berkata, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine, Amphetamine dan Benzo.
"Suspek juga memiliki enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah," ujarnya.
Suspek kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Jelasnya, kesalahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Tambahnya, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, atau kedua-duanya sekali, selain pengawasan selama dua tahun di bawah Seksyen 38B akta yang sama.
|