Edited by sfhzuraz at 17-1-2025 12:35 PM
KPM cadang perluas pemberian Baucar Buku Madani kepada guru
MOHD ISKANDAR OTHMAN
17 Januari 2025 11:56am

Fadhlina (tiga dari kanan) bergambar bersama wakil Pejabat Pendidikan Daerah yang menerima cek cura bantuan awal persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seri Tasek, di sini pada Jumaat.
NIBONG TEBAL - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang untuk memperluaskan pemberian Baucar Buku Madani kepada golongan pendidik pada tahun ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif Baucar Buku Madani yang diumumkan kerajaan pada Mei tahun lalu telah memberi manfaat kepada 3.5 juta orang pelajar yang melibatkan penebusan baucar sebanyak RM 286 juta.
Menurutnya, penebusan 100 peratus baucar itu melibatkan kira-kira 7.8 juta bahan bacaan sepanjang tahun 2024.
"Melihat kepada keupayaan, komitmen kepercayaan dan platform yang telah kita sediakan melalui pemberian baucar, kita berharap kita dapat meluaskan (pemberian baucar) pada tahun ini, maknanya sama ada diteruskan atau ditambah juga baucar untuk guru bagi tahun ini.
"Kita nampak komitmen itu ada, rakyat Malaysia menggunakan sepenuhnya baucar buku ini untuk menebus bahan bacaan yang baik dan ia memberikan kesan langsung kepada budaya membaca dan peningkatan pembacaan kalangan anak-anak kita," katanya.
]
Fadhlina (tengah) menyampaikan replika cek bantuan awal persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seri Tasek, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan cek bantuan awal persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seri Tasek, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya akan membawa cadangan berkenaan kepada jemaah menteri termasuk membentangkan laporan kejayaan pelaksanaan pemberian Baucar Buku Madani pada tahun lalu.
"Inilah kejayaan yang cukup besar dan ia tidak mudah tetapi kita berjaya laksanakan dengan hasil komitmen daripada semua pihak, guru terutamanya.
"Yang paling mengagumkan pastilah juga kerana kita juga berjaya melaksanakan penembusan ini 100 peratus di kawasan luar bandar yang saya fikir sangat baik dari segi komitmen itu,"ujarnya.
Pada Mei tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menegah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).
Baucar bernilai RM50 diberikan kepada murid Tahun 4 ke atas, manakala RM100 diberikan kepada murid sekolah menengah, pelajar kolej vokasional, Tingkatan Enam, matrikulasi, dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
https://www.sinarharian.com.my/article/707699/berita/nasional/kpm-cadang-perluas-pemberian-baucar-buku-madani-kepada-guru
|