Edited by sfhzuraz at 17-1-2025 01:06 PM
Kanak-kanak usia 4 tahun hidap jantung berlubang perlukan RM65,000
MOHD ISKANDAR OTHMAN
17 Januari 2025 12:17pm

Azra Azzahra
BUKIT MERTAJAM - Seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang menghidap jantung berlubang memerlukan sumbangan orang ramai bagi mengumpul dana RM65,000 untuk menjalani pembedahan.
Pembedahan untuk Azra Azzahra Azlan, dari Bedong, Kedah, perlu dijalankan segera dalam usaha menyelamatkan nyawanya selepas lubang jantung tidak tertutup sendiri.
Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, masalah jantung kongenital dihadapi Azra Azzahra dikesan sejurus selepas dilahirkan.
]
Azlan (kiri) dan Nur Azmira (dua dari kiri) bersama Azra Azzahra ketika hadir di pejabat One Hope Charity & Welfare.
Beliau berkata, pada awalnya doktor memaklumkan keadaan ketika itu tidak serius dan hanya perlu dipantau dengan harapan lubang akan tertutup dengan sendirinya.
“Ketika pemeriksaan pada usia dua tahun, doktor mengesan kebocoran injap jantung tetapi dia tidak menunjukkan sebarang gejala kritikal seperti sianosis, maka pembedahan tidak diperlukan pada waktu itu.
“Bagaimanapun Azra Azzahra mula mengadu sakit dada dan mengalami masalah pernafasan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lubang pada jantungnya semakin besar dan terletak berhampiran injap jantung, menyebabkan dia menghidap Ventricular Septal Defect (VSD) dan Aortic Regurgitation (AR),” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Sui Hau berkata, doktor mengesyorkan kanak-kanak itu menjalani pembedahan segera dalam usaha menyelamatkan nyawanya, namun memerlukan dana orang ramai sebanyak RM65,000.
Jelasnya, bapa kanak-kanak terbabit, Azlan Abdul Halim, 35, adalah orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.
“Azlan tidak mampu berdiri atau duduk terlalu lama bekerja sebagai pembantu di gerai sate dengan upah RM70 sehari selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Isterinya, Nur Azmira Azmi, 35, adalah suri rumah yang kini hamil anak keempat dan dijangka bersalin pada Ogos.
"Pasangan ini mempunyai dua lagi anak perempuan berusia tiga dan enam tahun,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi Public Bank Bhd atas nama One Hope Charity & Welfare di akaun 3201428817.
https://www.sinarharian.com.my/article/707707/berita/semasa/kanak-kanak-usia-4-tahun-hidap-jantung-berlubang-perlukan-rm65000
|