CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 185|Reply: 0

Orang politik dalam sastera

[Copy link]
Post time 4-1-2012 09:05 AM | Show all posts |Read mode
Kesungguhan atau muslihat peribadi boleh dikesan dalam karya\rDI SEBALIK hakikat kesusasteraan yang tidak terpisah daripada politik, gandingan karya sastera dan ahli politik masih lagi janggal sehingga politikus yang ‘menari’ di pentasnya pasti kelihatan canggung.\r\n\n\n\n\rJusteru, tidak hairanlah tidak ramai ahli politik yang ‘betah’ berada di pentas sastera walaupun mantan Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamed dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menulis dan mendeklamasi puisi.\r\r\n\n\n\n\nSelain dua mantan PM itu, ahli politik lain tidak menonjol pada pentas sastera khususnya puisi atau sekiranya ada, ia seolah-olah bermusim kerana tidak lebih mengikut langkah kedua-dua negarawan terbabit.\rBagaimanapun, sejarah sastera tanah air khususnya kesusasteraan tradisional sendiri bukanlah dunia yang asing daripada sentuhan ‘orang politik’ atau lebih dikenali sebagai pembesar istana pada abad lalu.\rDalam konteks sejarah Malaysia moden pula, bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menghasilkan kumpulan puisi, Merenung Jendela Hidup pada 2007, manakala terbaru pula kumpulan sajak, Suara Pelaut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.\rIsu inilah yang turut dibincangkan pada Bicara Karya Suara Pelaut di Dewan Puteri Bayu, Pasir Bogak, Pulau Pangkor, baru-baru ini, yang diadakan bersempena Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2.\r\n\n\n\rPensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Abdul Rahman Napiah, berkata tradisi sastera masa silam di gugusan kepulauan Melayu membuktikan pengarang muncul di kalangan ahli pemerintah.\r“Bendahara Johor, Tun Muhammad dan Tun Seri Lanang melahirkan Sejarah Melayu, manakala pembesar Melaka, Tun Bestari pula menulis Hikayat Hang Tuah.\r“Selain Perdana Menteri kepada Kerajaan Johor-Riau, Raja Ali Haji mengarang Tuhfat an-Nafis, sejarah negeri ini mencatatkan Misa Melayu yang menggambarkan sosiopolitik Perak pada abad ke-18 ditulis oleh putera raja, Raja Culan,” katanya pada acara yang dipengerusikan Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Che Abdullah Che Ya.\rDalam konteks Perak selepas Merdeka pula, Dr Abdul Rahman berkata, negeri itu pernah dikenali sebagai pemula dan penggerak ilmu kerana wujudnya banyak sekolah dan institut perguruan.\r“Justeru, tidak hairanlah negeri ini menjadi tempat lahirnya tokoh politik yang juga sasterawan seperti Allahyarham Dr Zulkifli Muhammad.\r“Dengan kemunculan Suara Pelaut ini, ia diharap dapat menghidupkan kembali tradisi kepenyairan dalam kalangan pemimpin pada semua peringkat,” katanya pada acara yang turut dihadiri Dr Zambry; Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Aminudin Hashim dan Pengarah Festival, Mohd Ghozali Abdul Rashid.\rBagaimanapun, Dr Abdul Rahman mengingatkan ada kekhuatiran yang menggunakan alasan pembabitan ahli politik dalam penulisan sastera boleh melunturkan nilai seni puisi.\r“Ini kerana mereka dikhuatiri menghasilkannya untuk tujuan politik dan memperdagangkan sastera untuk tujuan ideologi kekuasaan. Bagaimanapun, selepas membaca kumpulan ini, kekhuatiran itu pupus kerana buku ini memperlihatkan Dr Zambry sebagai penulis asli,” katanya.\rPensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sohaimi Abdul Aziz, mengharapkan kumpulan puisi daripada ahli politik boleh menjadi sumbangan untuk memperkayakan khazanah sastera negara dengan kekuatan fikiran, rasa dan bahasa.\r“Pada umumnya, Dr Zambry memperlihatkan bakat yang dapat dibanggakan dalam penulisan puisi dan beliau ialah segelintir pemimpin politik yang mampu mencipta puisi yang baik. Kumpulan puisinya mencerminkan personaliti pengarangnya iaitu pemuda yang mempunyai idealisme perjuangan, Muslim yang mementingkan ketakwaan dan manusia yang simpati kepada masyarakat terpinggir seperti nelayan,” katanya.\rProf Sohaimi mengakui penggunaan gaya bahasa lebih puitis dilihat dalam puisi yang membincangkan persoalan yang berhubung dengan ketuhanan dan nasib golongan nelayan berbanding idealisme golongan muda.\r“Ini disebabkan ruang untuk menampilkan persoalan idealisme dengan gaya bahasa yang lebih puitis tidak sesuai kerana kejituan dan impak serta-merta diperlukan. “Gaya bahasa puitis untuk persoalan ketuhanan dan kemanusiaan pula lebih terasa dan terkesan oleh indera rasa dan fikir,” katanya.\rPandangan Prof Sohaimi itu diperkukuhkan pula dengan sorotan tema oleh Pegawai Perancang Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Mohamad Shahidan yang menganggap Dr Zambry memberi perhatian besar kepada kehidupan nelayan di Pulau Pangkor, pulau tumpah darahnya.\r“Ini kerana ia menjadi pulau yang memperkenalkan penderitaan hidup manusia kepadanya sebelum beliau terdedah kepada penderitaan hidup manusia lain di dunia.\r“Persoalan kedua yang diangkat membabitkan introspeksi diri sewaktu remaja mahupun kenyataannya dalam kehidupan, selain penderitaan hidup kanak-kanak yang kebanyakannya berpunca daripada sebab kemiskinan ibu bapa,” katanya. \rMohamad berkata, pengarang turut mengangkat persoalan patriotisme, cinta akan tanah air dan impian untuk melihat bangsa negara ini mempunyai jati diri yang kukuh, tidak mudah ditundukkan oleh budaya besar yang sebenarnya lemah dan mengimpikan bangsa yang bermaruah dan gemilang di mata dunia.\rAcara anjuran Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Yayasan Kampung Karyawan Malim (YKKM) itu, turut mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU); Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negera Perak, Majlis Perbandaran Manjung dan International Council of Organisations of Folklore and Folk Arts (CIOFF Malaysia).

[Source]                [Go Back to Citizen Journalist]                [Pump!]




Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-9-2024 09:20 PM GMT+8 , Processed in 0.236402 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list