|
KUALA TERENGGANU, 5 Julai (Bernama) -- Sebanyak 410 fakir miskin dan pelajar kurang kemampuan di negeri ini terpilih menerima bantuan kewangan, pakaian dan barangan keperluan bersempena Aidilfitri daripada Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).
Majlis penyampaian bantuan itu yang berlangsung di Istana Syarqiyyah disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut berangkat Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Penerima bantuan terdiri 200 fakir miskin lelaki dan wanita dan 210 pelajar daripada tujuh sekolah di negeri ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Bukit Besar di sini; SMK Penarik, Setiu; SMK Pengkalan Berangan, Marang; SK Sungai Berua, Hulu Terengganu; SK Sungai Pergam, Kemaman dan SK Padang Landak, Besut.
Pada tahun ini, tiga buah madrasah iaitu Madrasah Tarbiyyah Islamiyyah Darul Hijrah dan Tahfiz Ar Rusd di sini serta Tahfiz Al-quran Batitul Rahmah di Setiu turut terpilih menerima bantuan tersebut.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri Toh Puan Sri Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Osman Muda dan Pengerusi Majlis Pengurniaan Bantuan tersebut merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM Toh Puan Sabariah Syed Mohd Yusof.
Kalangan 200 fakir miskin lelaki dan wanita itu masing-masing menerima wang tunai RM250, pakaian serta barangan seperti beras, susu, kuih raya dan serunding manakala pelajar terbabit menerima duit raya RM200 seorang.
Sabariah berkata sebanyak RM160,000 diperuntukkan pihak yayasan bagi tujuan tersebut.
Katanya sebagai badan amal, YDSM mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu.
Sementara itu, seorang penerima, Ngah Kalsom Mohd Amin, 72, berterima kasih atas komitmen berterusan YDSM dalam membantu golongan kurang berkemampuan seperti dirinya.
Ibu tunggal dari Kampung Binjai Rendah, Marang itu berkata sumbangan RM250 yang diterimanya akan digunakan bagi membeli kelengkapan hari raya.
-- BERNAMA
|
|